PENDANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan sistem Raja Berperlembagaan di negara ini berkemungkinan pupus sekiranya seseorang raja boleh disingkirkan dengan mudah.
Anwar berkata, disebabkan itu beliau mengambil pendirian tegas untuk mempertahan sistem berkenaan daripada sebarang usaha menggugat atau mempermudah proses menggulingkan seseorang raja.
Beliau berkata, kedudukan raja-raja Melayu mempunyai asas yang jelas dalam Perlembagaan dan tidak boleh diperlakukan sebagai perkara yang boleh diputuskan sesuka hati.
“Raja tak boleh disinggung, saya ada masalah atau saya rasa tak setuju saya mengadap kemukakan pandangan kepada Duli Yang Maha Mulia, tak boleh jatuhkan.
“Sebab itu kita tegas kalau raja ini kita boleh jatuhkan dengan mudah, sistem raja akan pupus di negara kita. Rakyat putuskan tapi saya faham rakyat terutamanya orang Melayu dan juga orang Cina dan India pun tak mahu sistem ini digugat,” katanya ketika berucap pada Program Pendang Berselawat 2026, hari ini.
Katanya, pendiriannya itu juga bukan bertujuan mencampuri urusan di Negeri Sembilan, sebaliknya untuk memastikan prinsip Raja Berperlembagaan yang menjadi sebahagian daripada sistem negara terus dihormati.
“Saya tidak campur, saya kata bincanglah cara elok, saya tak setuju semudah-mudah nak guling raja ini, tak boleh (kerana) sistem kita begitu sebab itu Perlembagaan sangat jelas.
“Oh (dikatakan) kamu tak faham Negeri Sembilan, kita ada empat Undang boleh jatuhkan (raja). Saya pun baca Perlembagaan sebab itu Peguam Negara bagi keputusan yang tegas tak boleh mudahkan.
“Bayangkan kalau mula di situ, esok Perdana Menteri dan Jemaah Menteri merasakan kita tukar Agong, kita tulis pada raja-raja Melayu kita tak setuju dengan Agong bolehkah,” katanya.
Beliau berkata, Perdana Menteri dan Jemaah Menteri tidak mempunyai kuasa untuk mengubah sesuka hati perkara berkaitan institusi raja-raja Melayu, Islam, bahasa Melayu dan hak-hak yang dilindungi Perlembagaan.
Sementara itu ujar Anwar, persoalan mengenai kedudukan raja perlu dilihat dalam kerangka sistem negara dan bukan semata-mata berdasarkan perbezaan politik atau kepentingan parti.
“Ini bukan soal parti politik ini sistem negara, kita orang Melayu kena buat keputusan. Apa guna kalau dalam soal raja Melayu yang jadi tonggak ini pun kita berbalah, nak suruh orang hormat kita macam mana,” katanya.
Beliau berkata, sistem Raja Berperlembagaan mempunyai mekanisme dan batas kuasa yang berbeza berbanding kerajaan yang dipilih melalui pilihan raya.
“Perdana Menteri boleh naik, boleh turun, boleh menang, boleh kalah. Raja Berperlembagaan itu dia kekal ikut Perlembagaan. Dia tak bertanding dalam pilihan raya,” katanya.- UTUSAN











