Mufti Besar Arab Saudi gesa askar lawan Houthi - Utusan Malaysia

Mufti Besar Arab Saudi gesa askar lawan Houthi

SHEIKH SALEH AL FAWZAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIYADH: Mufti Besar Arab Saudi, Sheikh Saleh Al Fawzan menggesa anggota tentera Arab Saudi supaya bersedia untuk berjuang mempertaruhkan nyawa dalam menghadapi ancaman Houthi.

Beliau menyifatkan  usaha memulihkan ke­selamatan dan kestabilan di Yemen sebagai antara tanggungjawab paling penting negara itu, menurut Saudi Press Agency (SPA).

Al-Fawzan menggesa pasukan Arab Saudi dan gabungan Arab pimpinan negara itu supaya terus bersatu serta menyifatkan Houthi sebagai musuh yang menyemai perpecahan, memecah-belahkan penduduk, memberontak terhadap pemerintah selain cuba meng­ancam tempat suci umat Islam.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kamu mesti sentiasa bersedia melaksanakan tanggungjawab, mendengar arahan pegawai atasan dan komander di medan dan mematuhi arahan mereka dengan penuh ketelitian,” kata Al-Fawzan.

Beliau turut menyifatkan usaha mempertahankan Arab Saudi, menjamin keselamatan sempadannya dan menangkis serangan sebagai tanggungjawab besar, dengan penekanan khusus terhadap perlindungan tempat-tempat suci.

Arab Saudi menuduh Houthi menyasarkan Mekah selepas sistem pertahanan udaranya memintas sebuah dron berhampiran kota suci itu pada 16 September.

Namun, Houthi menafikan menyasarkan Mekah atau mana-mana tempat suci Islam yang lain.

Houthi yang disokong Iran menyasarkan kawasan sempadan dan wilayah selatan Arab Saudi dengan peluru berpandu balistik dan dron.

Terbaharu, kumpulan itu pada Khamis mendakwa menyasarkan sasaran sensitif di Riyadh dan sebuah kemudahan minyak milik Aramco di kawasan Yanbu menggunakan peluru berpandu dan dron.

Dalam hantaran di X, jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree mendakwa sekatan dan sera­ngan Arab Saudi terhadap Yemen masih berterusan.

Beliau berkata, sebanyak  1,018 serangan udara dilancarkan da­lam tempoh pertempuran yang semakin sengit melibatkan jet­F-15 dan Typhoon yang beroperasi dari Khamis Mushait dan Taif. 

Beliau turut melaporkan pelancaran peluru berpandu dari Najran dan Jazan.

Saree menyifatkan serangan ke atas Riyadh dan Yanbu sebagai tindakan balas selain mendakwa serangan itu berjaya mengenai sasarannya.

Pertempuran antara pasukan kerajaan Yemen dan Houthi yang disokong Iran semakin sengit sejak Julai.

Houthi secara berkala melancarkan peluru berpandu balistik dan dron ke arah Arab Saudi de­ngan menuduh Riyadh menyerang mereka.

Peningkatan konflik itu turut berlaku di sepanjang pantai Laut Merah Yemen, apabila pasukan Houthi mara ke arah Selat Bab el-Mandeb yang strategik, laluan air sempit menghubungkan Laut Merah dengan Teluk Aden dan merupakan laluan penting bagi perkapalan antarabangsa.

Naib Presiden Majlis Kepimpinan Presiden Yemen yang diiktiraf masyarakat antarabangsa, Abdullah al-Alimi, memberitahu Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis bahawa melindungi Selat Bab el-Mandeb merupakan tanggungjawab bersama serantau dan antarabangsa.

Beliau turut   memberi amaran bahawa serangan Houthi terhadap pelayaran maritim telah menjadikan laluan perkapalan penting itu sebagai alat tekanan.

Beliau menggesa sokongan antarabangsa yang lebih kukuh diberikan kepada kerajaan Yemen, dengan menyatakan bahawa keselamatan Laut Merah bergantung kepada kestabilan Yemen dan kewujudan kuasa kerajaan yang berkesan. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×