Iran tunggu jawapan Trump buka Selat Hormuz - Utusan Malaysia

Iran tunggu jawapan Trump buka Selat Hormuz

IRAN menunggu jawapan daripada Amerika Syarikat (AS) berhubung pembukaan Selat Hormuz. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Iran mengesahkan sudah memaklumkan kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bahawa pihaknya bersedia membuka Selat Hormuz dalam tempoh tujuh hari dan memulakan rundingan mengenai program nuklearnya sehari kemudian.

Namun, ia hanya boleh dilakukan dengan syarat AS menarik balik sekatan terhadap eksport minyak Iran, menamatkan perang di semua medan terma­suk di Lubnan dan membebaskan sebahagian aset Teheran yang dibekukan.

Cadangan itu bertujuan mempercepatkan langkah yang pertama kali digariskan dalam memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani AS dan Iran pada Jun, khususnya dengan membantu rundingan mengenai program nuklear Teheran dimulakan jauh lebih awal daripada yang dipersetujui sebelum ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Iran berkata, persetujuan mengenai laluan sementara me­lalui Selat Hormuz sudah dicapai dengan Oman, menyifatkannya sebagai perjanjian yang telah dimuktamadkan dan bersedia mendaftarkan butirannya dengan Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO).

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata, beliau sedang me­nunggu jawapan daripada AS berhubung cadangan itu. Beliau juga mengesahkan sudah berbincang mengenai ranca­ngan berkenaan dengan China, yang menyokong sepenuhnya cadangan itu.

Riyadh awalnya dilaporkan bakal menyokong laluan Oman-Iran melalui selat berkenaan minggu lalu, tetapi menarik balik disebabkan kemarahan terhadap serangan kumpulan Houthi yang disokong Teheran yang menyasarkan Arab Saudi susulan pertikaian mengenai masa depan Yemen.

Iran mendakwa pihaknya sudah menggesa Houthi menghentikan serangan terhadap Arab Saudi, tetapi tidak mempunyai kawalan terhadap keputusan kumpulan itu.

“Kami sudah mengemukakan rancangan kepada AS melalui pihak pengantara bahawa jika syarat tertentu dipenuhi, selat itu akan dibuka dalam tempoh tujuh hari dan rundingan akan dimulakan.

“Prasyarat yang ditetapkan Iran bukan perkara baharu dan sudah terkandung dalam MoU Islamabad yang ditandatangani Trump,” kata Araghchi, ketika bercakap kepada pemberita di New York dengan merujuk kepada perang yang dimulakan AS-Israel ke atas Teheran pada 28 Februari.

Araghchi berkata, beliau akan berada di New York sepanjang hujung minggu untuk menunggu jawapan AS, tetapi menambah beliau tidak tergesa-gesa.

Secara tertutup, pegawai Iran percaya mereka boleh mencapai persetujuan dengan AS dan halangan daripada Arab Saudi berhubung beberapa aspek laluan itu boleh diatasi, tetapi bimbang Israel akan menggunakan pengaruhnya untuk mempengaruhi Trump supaya menolak cadangan berkenaan.

Araghchi turut berkata, beliau mahu persetujuan itu dicapai sebelum pilihan raya pertengahan penggal, November ini, sesuatu yang amat diperlukan Trump bagi memastikan Parti Republikan tidak mengalami kekalahan besar dalam pilihan raya.

Bagi AS, terdapat beberapa ke­sukaran dalam cadangan itu berkaitan usaha memaksa Israel menamatkan perang di Lubnan. 

Israel mungkin membantah pemberian kawalan yang begitu jelas kepada Iran ke atas laluan yang akan digunakan kapal untuk melalui Selat Hormuz. Iran juga mahu mengekalkan kawalan terhadap pergerakan kapal bagi menghalang sebahagian kapal tentera AS daripada melalui selat berkenaan.

Persoalan seperti sama ada bayaran tol atau yuran pelayaran boleh dikenakan oleh negara pantai Oman dan Iran akan diselesaikan pada peringkat seterusnya dalam proses itu.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×