PETALING JAYA: Skuad hoki wanita negara terus menghidupkan peluang untuk memburu tiket ke separuh akhir Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas membelasah Taiwan 5-0 dalam aksi keempat Kumpulan A, hari ini.
Kemenangan besar itu amat ditagih anak-anak buah C.R. Kumar dalam usaha memastikan Malaysia menamatkan saingan kumpulan dalam kelompok dua terbaik sekali gus mengesahkan tempat ke separuh akhir.
Malaysia bermula garang apabila memperoleh pukulan sudut penalti pada minit kesembilan yang disempurnakan Khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin untuk membuka tirai jaringan.
Seminit kemudian, Siti Nur Atika Shaikh Maznan menambah derita Taiwan menerusi gol padang sebelum Nuramirah Shakira Zulkifli menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-12.
Skuad negara terus menguasai permainan dan melengkapkan suku pertama dengan jaringan keempat menerusi pukulan sudut penalti Siti Zulaikha Husain pada minit ke-15.
Siti Zulaikha sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-50 untuk melengkapkan kemenangan 5-0.
Kemenangan tersebut menyaksikan Malaysia kini mengumpul sembilan mata, sama dengan Korea Selatan, namun berada di kedudukan ketiga selepas dipisahkan menerusi perbezaan jaringan.
China pula terus mengungguli Kumpulan A dengan rekod sempurna 12 mata daripada empat perlawanan. – UTUSAN











