‘Bersama parti spoiler hanya kacau undi, itu cerita karut’ - Utusan Malaysia

‘Bersama parti spoiler hanya kacau undi, itu cerita karut’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
Bekas Ahli Parlimen Subang, WONG CHEN menepis naratif pihak tertentu yang melabel Parti Bersama Malaysia (Bersama) sekadar parti spoiler atau pemecah undi. Mengakui perjalanan masih penuh cabaran, namun yakin sasaran realistik untuk parti itu memenangi 10 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) boleh dicapai.

Bekas pemimpin senior PKR itu turut mengkritik kelewatan reformasi, menuntut ketelusan dalam pendanaan politik serta menegaskan pentingnya konsistensi kerajaan supaya kepercayaan rakyat tidak terus terhakis.

Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, IRWAN SHAFRIZAN ISMAIL, dibantu jurufoto, M. FIRDAUS M. JOHARI dan juruvideo, ZUID SAMSON, beliau turut menyentuh isu pengampunan Datuk Seri Najib Razak dan tindakan Anthony Loke yang mahu meletakkan jawatan menteri, selain mempersoalkan ketelusan proses serta konsistensi pendirian politik.

Memuatkan artikel berkaitan…

KEADAAN MENCABAR
MINGGUAN MALAYSIA: Boleh terangkan sedikit keadaan semasa parti Bersama ini?
Keadaan semasa agak mencabar. Sebelum menyertai Bersama, saya sudah menjangkakan banyak kerja perlu dilakukan, tetapi selepas menyertai parti, kerja yang perlu dilakukan ternyata lebih banyak daripada yang dirancang.

Antara cabaran utama, jumlah tokoh dikenali umum masih terhad. Buat masa ini, antara yang banyak menjalankan tugas ialah Nik Nazmi Nik Ahmad, Datuk Seri Rafizi Ramli dan saya sendiri. Jadi, apabila ada ceramah atau program, banyak tugas perlu ditanggung oleh kami.

Kami berharap dalam beberapa bulan akan datang, lebih ramai Ahli Parlimen akan menyertai Bersama supaya pembahagian tugas dapat dilakukan dengan lebih baik. Kalau Rafizi perlu melakukan semua kerja seorang diri, memang sangat berat kerana beliau bekerja tanpa henti.

TIGA, EMPAT PEMIMPIN LAGI AKAN SERTAI BERSAMA
Berapa ramai lagi dijangka menyertai Bersama, khususnya pemimpin daripada PKR?
Mungkin tiga hingga empat orang lagi. Cuma kita tidak tahu bila mereka akan menyertai. Tempoh masa pun semakin singkat kerana tahun depan kita mungkin berdepan dengan PRU.

Kita kena faham bukan mudah untuk seseorang Ahli Parlimen meletakkan jawatan daripada parti lama dan sertai parti baharu. Sebelum ini, ketika di PKR, kita perlu menandatangani satu surat perjanjian atau bon. Kalau lompat parti, kita kena bayar pampasan RM10 juta.

Oleh sebab adanya Akta Antilompat Parti, kita tidak boleh meletakkan jawatan daripada PKR dan kemudian terus masuk Bersama sebagai Ahli Parlimen. Kalau parti memecat kita, kita boleh terus menjadi Ahli Parlimen dan kemudian menyertai Bersama. Masalahnya, parti tidak mahu memecat kita. Maka kita seolah-olah tergantung. Berdasarkan pengalaman saya, perkara paling menyakitkan apabila akses kepada peruntukan untuk kawasan Subang disekat.

Selain isu dana, kekecewaan YB juga berkaitan proses reformasi yang dilihat berjalan perlahan. Adakah apa yang dijanjikan sebelum ini tidak dipenuhi dalam tempoh yang ada?

Pada tahun pertama dan kedua, iaitu 2023 dan 2024, kita diberitahu ini adalah kerajaan Madani, bukan kerajaan Pakatan Harapan. Jadi, kita kena berbincang secara baik dengan BN, GPS dan GRS kerana manifesto mereka tidak mempunyai komitmen yang sama terhadap reformasi seperti PH. Itu kita faham. Tetapi sebagai Ahli Parlimen backbencher dan pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas, saya banyak berurusan dengan Ahli Parlimen daripada UMNO, Pas, GPS dan GRS. Apabila saya tanya sama ada mereka bersetuju dengan reformasi tertentu, ramai kata tiada masalah.

PERLU TELUS
Jadi, saudara tidak bersetuju jika dikatakan reformasi tidak dapat dilaksanakan kerana parti-parti dalam kerajaan tidak menyokongnya?
Ya. Apabila kerajaan mengatakan sesuatu reformasi tidak boleh dibuat kerana UMNO atau parti lain tidak bersetuju, saya rasa alasan umum seperti itu tidak semestinya tepat.

Contohnya, kalau kita bercakap mengenai pemberian dana kawasan secara sama rata, semua orang pernah melalui pengalaman menjadi pembangkang. Jadi, sukar untuk mengatakan mereka semestinya tidak bersetuju dengan perkara tersebut.

Bagi saya, untuk setiap isu sensitif atau reformasi yang hendak dilaksanakan, kerajaan sepatutnya membentangkannya secara terbuka dan menguji sokongan Ahli Parlimen.

Contohnya, kalau kerajaan mahu membuat deklarasi aset atau sesuatu reformasi institusi, umumkan dan tanya siapa yang menyokong dan siapa yang tidak. Kemudian buat pengiraan secara terbuka. Kalau cukup majoriti, maka reformasi itu boleh diteruskan. Tidak boleh hanya menggunakan alasan umum bahawa pihak tertentu tidak bersetuju tanpa benar-benar menguji pendirian mereka.

Saya rasa untuk kebaikan negara, kita perlu mempunyai sistem ketelusan yang lebih baik. Ahli Parlimen perlu ditanya oleh wartawan, NGO dan masyarakat supaya mereka menyatakan pendirian dengan jelas.

APAKAH UNDI INI MILIK KAMU?
Ada pihak yang kata Bersama hanya parti pemecah, kacau undi, terutama kepada PH dan PKR. Apa komen saudara?
Yang pertama, isu tentang kita pecah belah undi orang, itu karutlah. Sebab apa? Pada masa pilihan raya di Negeri Sembilan, kita tidak lawan pun. PH kalah. Sama ada kita ada atau tidak, mereka tetap kalah.

Jadi, untuk mengatakan kita ini ‘spoiler’ pengacau undi, saya rasa itu tidak betul. Bila mereka kata kita pengacau undi, mereka itu angkuhlah. Macam undi itu sudah menjadi milik mereka, rakyat tidak ada pilihan, kena pilih mereka.

Bila tengok Bersama masuk, terus kata pengacau undi. Apakah undi ini milik kamu? Tuhan bagi kepada kamu? Sudah janji dengan kamu? Kamu sendiri yang buat (reformasi), tapi kami tidak buat reformasi, orang tidak suka kamu, itu masalah kamu.

Jadi, kalau hendak kata kita ini pengacau undi, pengalaman di Negeri Sembilan sudah membuktikan sebaliknya. Kita tidak bertanding di sana, tetapi kamu tetap kalah. Jadi, kamulah yang menjadi masalah itu.

Kalau hendak kata kita ini pengacau undi, tolonglah. Itu cerita karut. Kamu lawanlah sendiri. Kamu hendak bergaduh atau bertanding, silakan. Kamu hendak berkawan semula dengan Datuk Seri Mohamed Azmin, dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin, itu pilihan kamu. Jadi, apa kaitannya dengan pengacau undi? Kamu tidak ada prinsip.

Seperti yang Rafizi kata, kita tidak mahu bergabung dengan sesiapa pun. Kita buat kerja kita sendiri dan cuba kekalkan laluan kita sendiri. Kalau pada masa depan kita mendapat 50 kerusi dan kita perlu membentuk kerajaan, itu cerita lain.

Tetapi ketika kempen, kita akan kekal dengan laluan kita sendiri. Kita berjuang untuk diri kita dan untuk apa yang kita percaya. Rakyat boleh melihat sama ada kita ini ahli politik profesional semata-mata atau benar-benar mahu buat kerja.

Kita harap rakyat melihat Bersama dan berkata, sekurang-kurangnya orang ini konsisten. Apa yang dia cakap, itulah yang dia buat. Dia berani dan dia laksanakan. Bukan ketika pilihan raya baru hendak membentuk gabungan, kemudian berbincang walaupun dahulu bergaduh dan sekarang berkawan semula. Rakyat tengok pun sudah muak.

MENGHADAPI PRN MELAKA
Bagaimana saudara melihat peluang Bersama di PRN Melaka?
Di Melaka, itu masih kawasan kuat UMNO. Kita memang tidak menjangkakan untuk menang. Kita baru lima bulan. Tetapi sekurang-kurangnya kita belajar daripada pengalaman bertanding di Johor. Setiap kali kamu bermain bola sepak, kamu akan bertambah baik. Setiap kali kamu melalui satu pertempuran, kamu akan bertambah baik. Ini langkah kedua, pertempuran kedua. Kita sedang melatih orang kita.

Kali ini kita mengumumkan calon lebih awal supaya rakyat boleh mengenali mereka dengan lebih baik. Tetapi untuk turun padang pun keadaan masih sama. Kita tidak mempunyai banyak wang dan organisasi masih belum kuat. Tetapi sekurang-kurangnya sudah mempunyai pengalaman. Jadi kita menjangkakan untuk bertambah baik. Bukan semestinya menang, tetapi bertambah baik.

Saya rasa di Melaka, peluang untuk Bersama menang memang sangat tipis. Tetapi saya rasa kalau kita mendapat enam peratus (undi) dahulu di Johor, mungkin kali ini kita boleh mendapat 12 peratus. Bertambah baiklah, yang penting bertambah baik. Setiap kali kita bertanding, kita belajar.

Jadi, selepas ini apa? Sarawak, betul? Mungkin Sarawak kita tidak pergi pun. Mahal dan jauh. Jadi, selepas itu mungkin Perlis, atau Terengganu, saya tidak tahu dan kemudian PRU16. Jika PRU16 berlaku, sekurang-kurangnya kita sudah melalui beberapa kali pertempuran dan kita sudah bersedia.

Memang kawasan kuat kita bukan di Johor dan bukan di Melaka. Tetapi di Kuala Lumpur, Selangor dan kawasan bandar. Mungkin Johor Bahru, mungkin Pulau Pinang, mungkin Ipoh, di mana pengundi kita lebih progresif, lebih kelas menengah dan lebih berbilang kaum. Itulah cabaran kita.

MENANG 10 KERUSI
Jangkaan terhadap Parti Kancil? Bagaimana potensi parti ini?
Bagi saya, jangkaan kita lebih realistik. Kalau kita boleh menang 10 kerusi Parlimen dalam PRU16, itu sudah pencapaian besar bagi kita. Sudah tentu kita mahu menang lebih banyak kerusi, tetapi saya rasa sasaran yang realistik adalah 10 kerusi.

Kita akan cuba memenanginya kerana kalau kita mempunyai 10 orang ‘Samurai’ (wakil) di Parlimen sebagai pembangkang, kita boleh memainkan peranan besar dalam melakukan semak dan imbang untuk negara kita. Selepas itu, pada PRU17, saya rasa kita akan berkembang dengan lebih besar.

Saya rasa perkara itu boleh berlaku kerana rakyat mungkin akan mula kecewa dengan PH ataupun golongan reformis yang dilihat tidak melaksanakan reformasi seperti diharapkan. Mungkin mereka akan beralih kepada kita.

Berdasarkan apa yang saya lihat daripada data, ada juga orang UMNO menyertai kita kerana kecewa dengan UMNO. Ada juga orang Pas menyertai kita. Jadi, ia bukan sekadar pengikut PKR, Rafizi atau Nik Nazmi sahaja. Orang daripada latar belakang politik lain juga mula datang kepada kita.

Saya rasa kalau kita mempunyai sebuah platform sederhana dan progresif, dengan kepimpinan Melayu yang baik, saya fikir kita boleh berkembang. Kita juga mempunyai pendekatan bersifat pelbagai kaum. Contohnya, orang seperti saya yang merupakan orang Cina Kelantan juga boleh menyertai parti ini.

Saya melihat struktur seperti ini akan lebih menarik kepada golongan kelas pertengahan dan juga yang tinggal di bandar kerana mesej kita lebih mudah diterima oleh mereka.

DANA DARIPADA KERAJAAN
Pandangan saudara mengenai Akta Pendanaan Politik yang dikatakan akan dibentangkan dalam sidang Parlimen akan datang, khususnya kerana kadang-kadang sukar untuk mendedahkan sumber dana yang diterima parti politik?
Sebenarnya saya ialah pengerusi All-Party Parliamentary Group Malaysia (APPGM) berkaitan pendanaan politik. Kami sudah menyediakan satu rang undang-undang yang agak lengkap dan ia telah disiapkan lebih tiga tahun lalu.

Kami sudah membincangkannya dengan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi (JKPK) Parlimen, William Leong Jee Keen. Kami juga sudah beberapa kali bertemu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said serta pegawai-pegawai Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri untuk membincangkan perkara ini.

Pada asasnya, ada dua perkara penting. Pertama adalah pendedahan mengenai siapa yang memberikan dana kepada parti politik.

Kedua, had atau limit terhadap jumlah sumbangan yang boleh diberikan. Cadangan kami adalah sekiranya sebuah syarikat mahu memberikan dana kepada parti politik, sumbangan itu perlu direkodkan dan jumlahnya dihadkan, contohnya maksimum RM100,000 setahun.

Ini supaya masyarakat boleh melihat siapa yang memberikan wang dan berapa jumlahnya. Kalau ada pihak yang senyap-senyap memberikan RM10 juta, sudah tentu kita perlu mempersoalkannya. Tidak sepatutnya seseorang boleh memberikan jumlah sangat besar sehingga mempunyai pengaruh terhadap dasar negara.

Kalau jumlahnya kecil, seperti RM1,000 atau RM10,000, kesannya tentu berbeza. Tetapi apabila jumlahnya mencecah RM1 juta, RM10 juta atau RM20 juta dan tidak dilaporkan, itu yang menjadi masalah. Sebab itu, pada pandangan saya, undang-undang ini perlu diwujudkan.

Perkara kedua adalah pendanaan politik daripada kerajaan menggunakan wang pembayar cukai. Di beberapa negara demokrasi seperti Jepun, Korea Selatan, New Zealand dan Australia, terdapat bentuk sokongan kerajaan kepada parti politik. Prinsipnya, parti politik memerlukan dana untuk menjalankan aktiviti dan operasi. Persoalannya dari mana dana itu datang dan bagaimana ia dikawal?

Kita perlu melihatnya daripada sudut mengurangkan kebergantungan parti kepada individu kaya atau syarikat besar. Kalau parti menerima dana besar daripada Datuk Seri, Tan Sri atau golongan yang mempunyai kepentingan ekonomi, timbul persoalan sama ada pemberian itu akan mempengaruhi parti atau dasar kerajaan. Sebab itu, saya berpandangan lebih baik kerajaan menyediakan jumlah tertentu dengan mekanisme jelas supaya parti politik tidak terlalu bergantung kepada orang kaya.

Ia tidak bermaksud kerajaan memberikan jumlah yang tidak terkawal kepada parti politik. Jumlah itu perlu mempunyai formula dan boleh dikaitkan dengan keputusan pilihan raya. Sebagai contoh, jika parti memperoleh dua juta undi dan kerajaan menetapkan kadar RM10 bagi setiap undi, parti tersebut akan menerima RM20 juta. Formula sebenar masih boleh dibincangkan, tetapi konsep asasnya adalah parti politik mempunyai sumber dana yang lebih telus dan tidak perlu bergantung kepada daripada individu kaya.

Matlamatnya adalah memastikan parti politik boleh beroperasi tanpa terlalu bergantung kepada individu atau syarikat yang memberikan dana dalam jumlah besar secara tidak telus.Apabila sumbangan besar diberikan dan tidak dilaporkan, ia boleh mewujudkan ruang kepada konflik kepentingan dan rasuah.

PENJELASAN KEPADA RAKYAT
Mengenai isu pengampunan Datuk Seri Najib, apakah isyarat yang saudara lihat daripada perkembangan ini?
Bagi saya, isu ini memang sangat emosional. Untuk pihak BN, mereka perlu melakukan apa yang mereka rasa perlu untuk pemimpin mereka. Saya tidak mempunyai masalah dengan itu. Kalau mereka mahu berkempen untuk Najib, itu hak mereka.

Yang saya tidak suka adalah sikap hipokrit. Kalau seseorang itu konsisten menyokong Najib, biarlah dia terus terang dan konsisten.

Bagi saya, kita perlu membezakan antara kuasa Yang di-Pertuan Agong dengan proses pentadbiran sesuatu permohonan pengampunan. Kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam perkara pengampunan memang diperuntukkan dalam Perlembagaan.

Tetapi persoalan saya, siapa yang menguruskan proses untuk membawa sesuatu permohonan kepada Lembaga Pengampunan, bagaimana agenda mesyuarat ditetapkan dan bagaimana proses itu dilaksanakan. Pada saya, perkara-perkara pentadbiran tersebut wajar dijelaskan kepada rakyat.

Apa yang saya persoalkan adalah proses sebelum sesuatu perkara itu sampai kepada keputusan tersebut. Siapa yang menyusun agenda, siapa yang membawa permohonan dan apakah pandangan atau syor yang dikemukakan oleh Lembaga Pengampunan? Itu yang saya rasa perlu lebih terbuka.

Kalau ada proses dan syor daripada Lembaga Pengampunan, pada pandangan saya, masyarakat patut tahu sejauh mana maklumat itu boleh didedahkan mengikut Perlembagaan dan undang-undang.

Perdana Menteri sendiri pernah menjelaskan bahawa beliau memastikan rayuan Najib dibawa untuk didengar dan dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan. Jadi, apabila kerajaan terlibat dalam proses pentadbiran itu, kerajaan juga perlu memberikan penjelasan munasabah kepada rakyat.

Sebab sebelum ini ada pemimpin dalam PH yang sangat lantang menentang isu 1MDB dan kes yang melibatkan Najib. Sekarang apabila mereka berada dalam kerajaan dan terlibat dalam pentadbiran sesuatu proses berkaitan pengampunan, sudah tentu rakyat akan melihat dan mempersoalkan perubahan tersebut.

Pada pandangan saya, di sinilah pentingnya konsistensi. Kalau pendirian berubah, kerajaan perlu menjelaskan kepada rakyat mengapa ia berubah.

SEMUA PATUT LETAK JAWATAN
Bagaimanakah pandangan terhadap tindakan Anthony Loke yang dikatakan mahu meletakkan jawatan Menteri Pengangkutan?
Saya tidak tahu sama ada perkara ini satu sandiwara politik atau Anthony Loke benar-benar marah dan mahu meletakkan jawatan.

Yang pertama, kita kena faham semua orang politik dalam kerajaan sudah tahu bahawa pendengaran berkaitan pengampunan itu akan berlaku pada Jumaat lalu kerana mereka sudah menerima notis sekurang-kurangnya tujuh hari lebih awal. Jadi, perkara itu bukan sesuatu yang berlaku secara tiba-tiba selepas keputusan mengenai Najib.

Kalau memang sudah tahu lebih awal, sepatutnya mereka boleh membuat kenyataan awal bahawa mereka tidak bersetuju dengan perkara itu, meminta supaya ia ditarik balik atau membincangkannya dengan pihak-pihak berkaitan.

Tetapi apabila perkara itu sudah berlaku, barulah reaksi diberikan dan timbul pula kenyataan mengenai peletakan jawatan. Mungkin benar beliau marah dan emosinya tinggi, tetapi persoalannya mengapa reaksi itu hanya diberikan selepas perkara itu berlaku?

Dalam politik, semua orang akan mencari ruang dan cara untuk mendapatkan simpati rakyat.

Sebab itu, daripada segi proses itu, saya tidak begitu terinspirasi dengan tindakan mereka kerana ia nampak seperti mempunyai banyak pertimbangan politik berbanding isu prinsip. Kalau benar-benar isu prinsip, sepatutnya semua (menteri, timbalan menteri DAP) yang tidak bersetuju meletakkan jawatan. – Mingguan Malaysia 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×