PETALING JAYA: Bintang skuasy No. 5 dunia, S. Sivasangari semakin mencerahkan peluang mempertahankan pingat emas yang dimenanginya, empat tahun lalu, selepas mara ke separuh akhir pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Nagoya, Jepun, hari ini.
Anak jati Kedah yang diletakkan sebagai pilihan pertama itu mengetepikan pemain No. 39 dunia, Ho Tze Lok dari Hong Kong 11-8, 11-7, 11-8 dalam masa 30 minit pada suku akhir di Nagoya Kinju-Futo Arena.
Sivasangari bakal berdepan dengan seorang lagi wakil Hong Kong, Chan Sin Yuk pada separuh akhir, esok, selepas pemain No. 21 dunia tersebut menewaskan pemain muda Malaysia, Aira Azman 10-12, 11-9, 11-5, 11-9.
Turut mengiringi Sivasangari ke separuh akhir, pemain perseorangan lelaki utama negara, Ng Eain Yow yang mengalahkan Lau Tsz Kwan juga dari Hong Kong 11-4, 11-9, 11-4.
Eain Yow yang merupakan pemain No. 18 dunia akan menghitung pertemuan dengan pemain muda Pakistan, Noor Zaman yang menghuni ranking ke-29 dunia pada separuh akhir.
Anak jati Kuala Lumpur itu berkata, hari ini, aksinya berdepan Tsz Kwan ada sedikit kelainan dengan pemain Hong Kong itu berusaha mengubah taktikal kebiasaan dalam permainannya.
“Saya sedikit bergelut untuk memahami corak permainan lawan dan cabaran kali ini berbeza, dia tidak bermain seperti biasa, tetapi, saya akhirnya berjaya melakar kemenangan 3-0,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan berakhir, hari ini.
Mengulas mengenai aksi separuh akhir, Eain Yow menjelaskan, selaku juara bertahan, sudah tentu dia menetapkan sasaran untuk mengekalkan gelarannya, tetapi dalam masa sama laluan itu tidak mudah.
“Saya perlu berdepan pemain-pemain terbaik dari negara bertanding dan cara saya berfikir tetap sama seperti beraksi di pusingan awal iaitu jangan sesekali ambil mudah kepada lawan yang ditemui.
“Esok pun sama, dengan cara pemikiran yang sama. Saya perlu juga menyelidik corak permainan lawan menjelang separuh akhir, esok,” ujarnya. – UTUSAN











