PETALING JAYA: Penggantungan Perikatan Nasional (PN) boleh menjejaskan rundingan pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kerana tiada struktur kepimpinan gabungan yang diiktiraf secara rasmi untuk membuat keputusan muktamad.
Penyelidik Kajian Geopolitik dan Elektoral Borneo (GeoPES), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Syahruddin Awang Ahmad berkata, proses pemilihan calon juga menjadi lebih rumit kerana pencalonan perlu dikendalikan oleh pucuk pimpinan setiap parti komponen secara berasingan.
Katanya, parti komponen turut berdepan masalah menyelaraskan jentera kempen selepas operasi pusat gerakan bersama terhenti susulan penggantungan itu.
“Oleh sebab Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) melarang penggunaan logo PN dalam pilihan raya, Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) tidak boleh menggunakan lambang gabungan itu.
“Jika penggantungan tersebut masih berkuat kuasa, pilihan utama parti komponen adalah bertanding atas tiket dan lambang masing-masing yang berdaftar di bawah RoS. Langkah ini membolehkan calon mereka mengemukakan kertas penamaan mengikut undang-undang pilihan raya.
“Bahan kempen bercetak pula perlu dicetak semula tanpa simbol PN, manakala mesej kempen menjadi berasingan. Keadaan ini mengurangkan kecekapan logistik serta penyelarasan kerja di peringkat akar umbi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan, PN berdepan kemungkinan tidak dapat bertanding pada PRN Melaka susulan perintah penggantungan yang dikeluarkan RoS, rabu lalu.
Perintah menggantung semua kegiatan PN berkuat kuasa rabu lalu sehingga tempoh yang tidak ditetapkan itu sekali gus menimbulkan persoalan mengenai status gabungan itu untuk menyertai PRN Melaka yang akan diadakan dalam masa terdekat.
Mengulas kesan penggantungan terhadap saingan PRN Melaka, Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan, Universiti Malaya (UM), Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berkata, pecahan undi penyokong PN berisiko menjejaskan peluang Pas dan Bersatu di kerusi yang pernah dimenangi dengan majoriti tipis.
“Saya berpandangan kesan paling besar ialah pecahan undi penyokong PN khususnya di kerusi yang majoritinya kecil seperti Pengkalan Batu (131 undi), Tanjung Bidara (364 undi) dan Sungai Udang (530 undi).
“Jika Pas dan Bersatu berkempen atau bertanding secara berasingan, undi teras masing-masing belum tentu mencukupi untuk menang.
“Pada 2021, PN memperoleh 24.3 peratus undi popular tetapi hanya menang dua kerusi. Jumlah sokongan sahaja tidak mencukupi jika undi berpecah atau tidak tertumpu,” katanya. – UTUSAN











