BOGOTA: Colombia mengumumkan memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran, menjadikannya negara Amerika Latin terbaharu berbuat demikian terhadap musuh utama Amerika Syarikat (AS) itu.
Presiden baharu Colombia berhaluan kanan, Abelardo de la Espriella menyusun semula pakatan negara itu sejak mengambil alih jawatan daripada pendahulunya yang berhaluan kiri, Gustavo Petro pada 7 Ogos lalu dengan sokongan penuh Presiden AS, Donald Trump.
Sebelum pelantikannya, De la Espriella turut mengumumkan rancangan untuk memutuskan hubungan dengan rejim berhaluan kiri yang bersifat autoritarian di Cuba dan Nicaragua, namun setakat ini belum berbuat demikian.
Kerajaannya berkata, keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Iran yang berkuat kuasa pada 19 September, dibuat berdasarkan pertimbangan keselamatan serantau dan negara.
Kerajaan itu menuduh Iran mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas yang terlibat dalam kegiatan dadah dan mengancam keselamatan negara, namun tidak mengemukakan bukti bagi dakwaan berkenaan.
Kerajaan Colombia turut mengkritik Teheran kerana menyekat lalu lintas di Selat Hormuz serta menyerang negara lain di Asia Barat dalam perang dengan AS dan Israel.
Nmaun Bogota memaklumkan hubungan konsular dengan Teheran akan dikekalkan.-AFP











