PERENTAS sifatkan pelantikan Prof. Suriyani Naib Canselor UMT selari dengan hala tuju universiti

PERENTAS sifatkan pelantikan Prof. Suriyani Naib Canselor UMT selari dengan hala tuju universiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) baru-baru ini mengumumkan pelantikan Prof. Dr. Suriyani Mohamad sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang ke-7 berkuat kuasa 28 September 2026.

Suriyani 51, sebelum ini merupakan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT menggantikan Prof. Datuk Dr. Zamri Ibrahim yang telah tamat tempoh perkhidmatan Ogos lepas.

Suriyani merupakan pakar dalam bidang ekonomi dan pelantikan beliau sebagai naib canselor yang baharu akan merancakkan lagi operasi UMT sebagai peneraju agenda Ekonomi Biru negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam pada itu, Persatuan Pentadbir dan Ikhtisas UMT (PERENTAS) mengucapkan sekalung tahniah atas pelantikan Suriyani sebagai Naib Canselor UMT yang baharu.

Presidennya, Wan Mohd Wazir Wan Abdul Wahab berkata, pelantikan tersebut amat bermakna dan bertepatan dengan hala tuju strategik UMT dan KPT.

KPT telah berjaya mengambil pendekatan yang positif dalam memenuhi sasaran 30 peratus perwakilan wanita dalam kumpulan pengurusan tertinggi sektor awam hari ini dan menjadikan UMT sebagai universiti ke-3 di negara ini yang diterajui oleh wanita.

“Pengumuman pelantikan ini adalah hadiah istimewa dan paling bermakna buat UMT selari dengan pelan penggantian dan bakat ahli-ahli akademik dalaman UMT sendiri”.

WAN MOHD. WAZIR WAN ABDUL WAHAB

Kata beliau lagi, hasil tinjauan, rata-rata warga UMT di semua peringkat sangat bergembira dan menyambut baik pengumuman yang telah dibuat oleh KPT baru-baru ini.

Justeru, PERENTAS bersama-sama warga UMT lain berjanji akan memberikan kerjasama yang terbaik dan akan terus menyokong semua usaha dan perancangan yang bakal dilaksanakan kelak.

“Kami berdoa semoga UMT terus menjadi sebuah universiti yang tersohor di Malaysia di bawah pimpinan yang baharu,” ujarnya yang juga Presiden Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×