KUALA LUMPUR: Malaysia mengumumkan penubuhan Majlis Halal Malaysia-Indonesia sebagai usaha memperkukuh diplomasi halal antara kedua-dua negara.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata majlis itu akan dipengerusikan oleh Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) Indonesia, manakala Malaysia akan berperanan sebagai setiausaha agung majlis itu, dengan mesyuarat pertama dijadualkan berlangsung pada Oktober ini.
“Bulan depan, tumpuan adalah untuk memudah cara pensijilan halal antara Malaysia dan Indonesia bagi melancarkan perdagangan halal dua hala antara kedua-dua negara,” katanya dalam ucapan pada Global Halal Summit 2026 di sini hari ini.
Beliau berkata Malaysia dan Indonesia telah menandatangani memorandum kerjasama pada 2023, manakala rundingan dua hala bagi memudah cara pensijilan dan perdagangan halal antara kedua-dua negara selesai pada Jun tahun ini.
Kerjasama lebih erat itu, katanya, dapat mengenal pasti kaedah praktikal untuk memudah cara perdagangan, mengurangkan pertindihan serta menghubungkan syarikat dengan rantaian bekalan serantau.
Menurut Ahmad Zahid, Malaysia mempunyai pengalaman dalam bidang piawaian, tadbir urus, kewangan Islam dan pemudahcaraan perdagangan, manakala Indonesia mempunyai kelebihan dari segi skala, kapasiti pengeluaran dan keusahawanan.
“Matlamat diplomasi halal adalah untuk kedua-dua pihak memanfaatkan kepercayaan yang telah dibina bagi membuka pasaran, memudah cara pelaburan dan mewujudkan peluang bersama,” katanya.
Ahmad Zahid berkata kerjasama itu pada akhirnya perlu diterjemahkan kepada pengurangan halangan, akses pasaran yang lebih mudah serta lebih banyak syarikat menjalankan perdagangan merentas sempadan.
Beliau berkata pengeluar kecil perlu mempunyai laluan yang lebih jelas untuk mendapatkan pembeli di luar negara, manakala syarikat yang telah mendapat pensijilan halal perlu diberikan sokongan yang diperlukan untuk memenuhi pesanan eksport pertama mereka.
“Masa depan halal bergantung pada sejauh mana kita dapat menghubungkan satu sama lain dan membina kepercayaan itu pada masa akan datang,” katanya, sambil menambah Malaysia menyasarkan peningkatan eksport halal kepada kira-kira RM80 bilion menjelang 2030.
Ahmad Zahid berkata industri halal menyumbang kira-kira 11 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia, namun hanya kira-kira 14.7 peratus syarikat yang mempunyai pensijilan halal merupakan pengeksport.
“Bagi merealisasikan hasrat kita, kita perlu membantu lebih banyak syarikat ini bersaing di luar negara. Pensijilan hanyalah permulaan perjalanan itu. Syarikat juga memerlukan pengeluaran yang konsisten, pembungkusan yang sesuai, modal kerja, logistik yang boleh dipercayai serta pemahaman mengenai pasaran sasaran mereka,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 berjaya menarik potensi jualan bernilai US$1.2 bilion dalam tempoh dua hari penganjurannya.
MIHAS 2026 dianjurkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan dikendalikan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), berlangsung dari 23 hingga 26 Sept 2026.
Ahmad Zahid berharap jumlah jualan serta potensi jualan akan terus meningkat sehingga MIHAS berakhir pada Ahad, sambil menyifatkan penganjuran MIHAS setiap tahun telah menjadikan acara itu sebagai jenama pameran halal di peringkat global, meskipun beberapa negara turut menganjurkan pameran seumpamanya.-BERNAMA











