Sains lindungi kesihatan komuniti

Sains lindungi kesihatan komuniti

PENGETAHUAN tepat, amalan baik serta kerjasama semua pihak mampu mewujudkan persekitaran yang lebih sihat demi kesejahteraan masyarakat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARI Kesihatan Persekitaran Sedunia (WEHD) yang disambut hari ini menjadi wadah untuk meningkatkan kesedaran tentang faktor persekitaran yang mempengaruhi kesihatan manusia, di samping menghargai peranan petugas kesihatan persekitaran dalam melindungi masyarakat.

Sambutan ini diisytiharkan secara rasmi pada 2011 oleh Persekutuan Kesihatan Persekitaran Antarabangsa (IFEH) semasa mesyuarat majlis di Indonesia. Sambutan pertama kemudian diadakan pada 26 September tahun yang sama.

Sejak itu, WEHD diraikan setiap tahun di peringkat global bagi mengetengahkan pelbagai isu yang berkait rapat dengan kehidupan manusia, termasuk kualiti udara, air bersih, keselamatan makanan dan perubahan iklim.

Memuatkan artikel berkaitan…

Di Malaysia, agenda WEHD digerakkan secara bersama oleh agensi kerajaan, badan profesional dan institusi pendidikan dengan matlamat memastikan sains serta data di lapangan diterjemahkan kepada tindakan yang mampu memberikan perlindungan sebenar kepada komuniti.

Antara pihak yang memainkan peranan ialah Kementerian Kesihatan (KKM), Persatuan Kesihatan Persekitaran Malaysia (MAEH), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan universiti yang menawarkan bidang Kesihatan Persekitaran seperti Universiti Putra Malaysia (UPM) serta beberapa universiti awam lain.

Sebagai peneraju utama sektor awam, KKM bertanggungjawab merangka polisi kesihatan awam, mengawal penyakit berjangkit seperti demam denggi serta memantau keselamatan makanan dan kualiti alam sekitar.

MAEH pula merupakan badan profesional utama yang mewakili pengamal kesihatan persekitaran di Malaysia. Persatuan itu bertanggungjawab menyebarkan tema tahunan, menyelaras sambutan di peringkat kebangsaan dan merupakan ahli pengasas IFEH.

Pihak berkuasa tempatan seperti majlis bandaraya dan majlis perbandaran pula berperanan melaksanakan undang-undang berkaitan kebersihan, pengurusan sisa serta pelesenan premis dalam komuniti.

Universiti pula menjadi medan melahirkan pakar, menjalankan penyelidikan saintifik baharu serta menyebarluaskan dapatan kepada pihak berkepentingan.

Tema rasmi WEHD tahun ini, “Kesihatan Persekitaran: Bersama Sains untuk Melindungi Komuniti”, menekankan kepentingan tindakan kesihatan awam yang berasaskan bukti saintifik dalam menangani risiko persekitaran.

Intipati utama tema WEHD 2026 adalah memastikan setiap tindakan, undang-undang dan keputusan berkaitan kesihatan awam dipandu oleh fakta serta bukti saintifik yang sahih, bukannya sekadar andaian.

Pemilihan tema ini antara lain bertujuan merapatkan jurang antara teori dengan amalan. Apabila sains dijadikan panduan, pakar kesihatan persekitaran seperti pegawai kesihatan awam dan penyelidik dapat menterjemahkan data makmal serta hasil penyelidikan kepada polisi, peraturan dan tindakan praktikal yang mampu melindungi masyarakat.

Dalam era maklumat digital pula, keputusan berkaitan isu kritikal seperti kualiti air, pencemaran udara, semburan kawalan nyamuk dan keselamatan makanan mudah terdedah kepada salah faham awam.

Justeru, agensi penguat kuasa dan komuniti perlu berpaksikan bukti saintifik ketika menangani sesuatu isu. Pendekatan itu penting bukan sahaja untuk menyelesaikan krisis, malah membina semula kepercayaan masyarakat terhadap sistem kesihatan awam.

Pada masa sama, penerapan sains secara tegas dapat mengukuhkan enam tunggak utama kesihatan persekitaran, iaitu bekalan air bersih, pengurusan sisa, kediaman sihat, makanan selamat, pencegahan penyakit dan komuniti yang kuat.

Dalam aspek bekalan air, penggunaan parameter sains bagi mengesan pencemaran toksik atau mikroorganisme penting untuk menjamin keselamatan serta mengekalkan tahap sanitasi. Pendekatan ini wajar diteruskan bagi memastikan sumber air yang digunakan masyarakat kekal selamat.

Pengurusan sisa juga memerlukan teknologi pelupusan yang canggih dan selamat, khususnya bagi menangani jumlah sisa pepejal serta sisa klinikal yang semakin meningkat. Antaranya ialah loji sisa-kepada-tenaga yang beroperasi di Negeri Sembilan dan Selangor.

Kemudahan tersebut bukan sekadar melupuskan sisa, malah menghasilkan tenaga elektrik menerusi proses pelupusan.

Bagi memastikan kediaman dan persekitaran kekal sihat, kualiti udara dalam bangunan juga perlu diberi perhatian. Kawalan yang baik dapat mengurangkan pendedahan kepada zarah halus terampai, kulat, bahan kimia organik mudah ruap serta radiasi.

Pengurusan dan kawalan kualiti udara dalaman di Malaysia dikawal selia secara rasmi oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), termasuk bagi mencegah masalah kesihatan seperti Sindrom Bangunan Sakit (SBS) yang boleh dikaitkan dengan keadaan cuaca khatulistiwa yang panas dan lembap.

Keselamatan makanan pula perlu dipastikan menerusi audit rantaian makanan berasaskan mikrobiologi bagi mencegah kejadian keracunan. Pemantauan dilaksanakan pada pelbagai peringkat, bermula daripada sumber pengeluaran, pemprosesan dan pengedaran hingga penyediaan makanan oleh beberapa agensi kerajaan termasuk KKM.

Dalam usaha mencegah serta mengawal penyakit berjangkit, kajian terhadap kitaran hidup vektor seperti nyamuk dan tikus secara saintifik juga perlu dilakukan secara berterusan bagi menyekat penularan wabak.

KKM, misalnya, melaksanakan pelepasan nyamuk Aedes ber-Wolbachia di lokaliti berisiko tinggi. Bakteria Wolbachia berfungsi menghalang virus denggi daripada membiak dalam badan nyamuk.

Pelaksanaan itu dilaporkan menunjukkan hasil praktikal apabila kes denggi mencatatkan penurunan sehingga 36.2 peratus di kawasan bandar seperti Putrajaya.

Namun, perlindungan kesihatan persekitaran tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada agensi kerajaan. Komuniti sendiri perlu mempunyai keupayaan mengambil tindakan pencegahan terhadap ancaman di sekeliling mereka.

Untuk membina komuniti sedemikian, tahap literasi sains perlu terus dipertingkatkan. Pemerkasaan di peringkat akar umbi juga terbukti lebih berkesan berbanding kebergantungan semata-mata kepada penguatkuasaan undang-undang.

Sehubungan itu, tindakan praktikal di kawasan kediaman seperti Komuniti Sihat Perkasa Negara (Skuad KOSPEN) dan Komunikasi untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI), bersama struktur komuniti seperti Kawasan Rukun Tetangga, Persatuan Penduduk, Jawatankuasa Kampung serta jawatankuasa rumah ibadat, wajar terus diperkasakan.

Kesihatan persekitaran akhirnya bukan sekadar tanggungjawab petugas atau agensi tertentu. Ia memerlukan sains yang kukuh, tindakan tepat dan komuniti yang mampu memainkan peranan. Apabila ketiga-tiganya bergerak seiring, perlindungan terhadap kesihatan masyarakat dapat dilaksanakan.

TANGGUNGJAWAB SEMUA PIHAK

Sebagai ahli komuniti, setiap individu perlu menterjemahkan literasi sains kepada tindakan harian yang praktikal. Sebelum bertindak, pengetahuan berasaskan bukti perlu dijadikan panduan, termasuk mendapatkan maklumat kesihatan persekitaran daripada sumber yang diiktiraf serta mengelakkan penyebaran maklumat tanpa pengesahan.

Penglibatan masyarakat penting dalam usaha mencegah penyakit berjangkit, antaranya menghapuskan tempat pembiakan nyamuk bagi mengawal denggi. Pemantauan Indeks Pencemaran Udara (IPU), pengudaraan silang yang baik di rumah, pengasingan sampah serta amalan kitar semula juga boleh menyokong persekitaran yang lebih sihat.

Selaras tema WEHD 2026, pakar dan institusi berkaitan perlu menyediakan data saintifik yang tepat, manakala pihak berkuasa menggunakannya dalam penggubalan dasar dan penguatkuasaan.

Pada masa sama, komuniti perlu mematuhi panduan berasaskan sains serta mengamalkan gaya hidup lestari.

Sains menunjukkan arah, manakala tindakan bersama menjadi perisai yang melindungi kesihatan manusia. –UTUSAN

 

PROFESOR Madya Dr. Saliza Mohd. Elias ialah Pensyarah di Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×