PETALING JAYA: Keadaan kualiti udara negara semakin merosot berikutan tiupan angin Monsun Barat Daya yang membawa asap daripada kebakaran hutan dan tanah gambut di Indonesia secara konsisten ke arah Malaysia.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, arah pergerakan dan kekuatan angin yang perlahan dan kekurangan hujan telah menyebabkan peningkatan kepekatan jerebu serta bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di negara ini.
Beliau berkata, angin bertiup secara konsisten dari Indonesia ke Malaysia sepanjang musim Monsun Barat Daya ketika ini, walaupun kekuatan tiupannya agak perlahan berbanding kebiasaan.
“Kami akan terus memantau perkembangan situasi kualiti udara ini melalui data satelit, model atmosfera serta pemantauan kualiti udara bagi memastikan sebarang perubahan dapat dikenal pasti dan dimaklumkan kepada orang ramai dengan segera.
“Selagi masih terdapat kebakaran terbuka di Sumatera dan Kalimantan, masalah jerebu rentas sempadan ini dijangka tidak akan berakhir sepanjang tempoh musim Monsun Barat Daya masih berlangsung,” katanya.
Namun begitu, beliau berkata, jangkaan positif musim Monsun Barat Daya dijangka berakhir pada awal Oktober dan akan digantikan dengan musim Timur Laut bermula awal November.
Menurutnya, fenomena El Nino yang sedang menguat merupakan salah satu punca utama berlakunya jerebu yang menyebabkan rantau selatan Asia Tenggara, terutamanya Indonesia, mengalami cuaca yang lebih kering dan ekstrem berbanding biasa sepanjang musim Monsun Barat Daya.
Sementara itu, Ketua Kumpulan Penyelidik Kualiti Udara dan Impak Kesihatan, Universiti Putra Malaysia, Prof. Juliana Jalaludin berkata, keadaan jerebu perlu dilihat dalam konteks pencemaran udara merentas sempadan berikutan peningkatan titik panas di Sumatera dan Kalimantan.
Katanya, kewujudan titik panas tidak semestinya bermakna asap akan terus sampai ke Malaysia kerana pergerakan dan penyebaran asap amat bergantung kepada faktor meteorologi seperti arah dan kelajuan angin, kestabilan atmosfera, kelembapan serta taburan hujan.
“Jerebu tidak boleh dinilai daripada bacaan PM2.5 semata-mata, kerana jerebu sebenarnya merupakan campuran kompleks pelbagai bahan pencemar termasuk PM10, partikel ultra halus, black carbon serta sebatian toksik seperti Polycyclic Aromatic Hydrocarbons (PAHs).
“Orang awam perlu mengurangkan pendedahan kepada udara tercemar, khususnya apabila bacaan IPU berada pada tahap tidak sihat, termasuk mengurangkan aktiviti fizikal berat di luar bangunan dan menggunakan pelitup muka seperti N95 sekiranya perlu berada di luar rumah,” katanya.
Beliau turut menyokong usaha Malaysia memperkukuh sistem pemantauan kualiti udara, termasuk mempertimbangkan pembangunan stesen pemantauan bersepadu di lokasi strategik bagi memahami dengan lebih terperinci sumber, komposisi dan pergerakan bahan pencemar.-UTUSAN











