Malaysia-Indonesia perkukuh kerjasama keselamatan rentas sempadan

Malaysia-Indonesia perkukuh kerjasama keselamatan rentas sempadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia dan Indonesia akan mempergiatkan rondaan darat serta maritim secara bersepadu di kawasan berisiko tinggi dan laluan penyeludupan sebagai usaha memperkukuh keselamatan rentas sempadan kedua-dua negara.

Persetujuan itu dicapai menerusi Mesyuarat Ke-17 Joint Police Cooperation Committee (JPCC) Malaysia-Indonesia (MALINDO) 2026 bagi memperkukuh perkongsian maklumat risikan serta memperkemas saluran komunikasi langsung bagi meningkatkan keberkesanan tindak balas operasi taktikal.

Selain itu, kerangka Latihan Bersama (LATMA) Aman Malindo akan disusun semula, disusuli pemerkasaan program silang latihan bagi meningkatkan profesionalisme serta kesiapsiagaan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kepolisian Negara Republik Indonesia (POLRI) dalam mendepani cabaran keselamatan serantau.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan bersama Timbalan Pengarah (Pasukan Gerakan Am/Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman,  Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi selaku Ketua JPCC Malaysia dan Kepala Biro Kerja Sama Kementerian/Lembaga Staf Utama Operasi Kepolisian POLRI, Brigadir Jenderal Polisi Muhamad Setyobudi Dwiputro selaku wakil Ketua JPCC Indonesia.

Mohamad Suzrin berkata, pelbagai perkara strategik serta resolusi penting berjaya dibincangkan dan dipersetujui bersama sepanjang persidangan JPCC MALINDO 2026.

“Pencapaian ini mencerminkan komitmen serta kesungguhan berterusan PDRM dan POLRI dalam memperkukuh kerjasama melalui pelaksanaan program operasional dan latihan yang terancang.

“Ini demi mempertingkatkan kesiapsiagaan kedua-dua pasukan sekali gus menjamin keselamatan serantau,” katanya.

Mohamad Suzrin turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh delegasi yang hadir atas komitmen dan kerjasama yang diberikan sepanjang penganjuran JPCC MALINDO 2026.

Mesyuarat ke-17 itu kemudian melabuhkan tirainya menerusi Majlis Gala Makan Malam di Manhattan I Hall, Hotel Berjaya Times Square, malam tadi. 

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Pengarah (Gerakan/Operasi) Jabatan KDNKA Bukit Aman, Datuk Muhammad Abdul Halim dan Ketua Tim Perancang Operasi Kepolisan POLRI merangkap Wakil Ketua JPCC Indonesia, Brigadir Jenderal Polisi Muhamad Setyobudi Dwiputro serta pegawai kanan kedua-dua agensi.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×