Berat Bumi berubah jejas sistem navigasi, satelit - Utusan Malaysia

Berat Bumi berubah jejas sistem navigasi, satelit

BERAT Bumi sentiasa berubah mengikut perubahan musim. - NASA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Agensi Pentad­biran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) mengeluarkan amaran bahawa pusat jisim planet Bumi sentiasa bergerak mengikut perubahan musim, menurut pakar. 

Sekumpulan saintis NASA berkata, Bumi sentiasa mengalami pergerakan termasuk perubahan bentuk akibat berat air, ais dan udara.

Kesemuanya dipengaruhi oleh pembekuan pada musim sejuk, pencairan ais pada musim bunga, pergerakan lautan dan perubahan tekanan atmosfera.

Memuatkan artikel berkaitan…

Akibatnya, pusat jisim Bumi berputar mengelilingi pusat geometrinya sehingga beberapa milimeter, menurut mereka.

Pergerakan itu boleh menjejaskan ketepatan data satelit dan sistem navigasi.

“Walaupun pergerakan ini mungkin kelihatan kecil, dunia moden kita bergantung pada ukuran kedudukan yang sangat tepat,” kata penulis bersama kajian, Felix Landerer dari Makmal Penggerak Jet NASA.

“Dengan mengenal pasti dan memahami mekanisme yang mengubah sistem rujukan, kita boleh membangunkan sistem rujukan lebih baik, sekali gus memberi manfaat kepada peme­taan serta navigasi  daripada logistik perkapalan global hingga pertanian berketepatan tinggi,” tambahnya.

Dalam kajian yang diterbitkan dalam Geophysical Journal International, penulis utama, Do­nald Argus dan pasukannya membangunkan teknik baharu untuk mengesan saiz pergerakan pusat jisim Bumi berdasarkan penjejakan satelit berketepatan tinggi.

Mereka menggabungkan pen­jejakan Sistem Kedudukan Sejagat GPS dan data orbit daripada beberapa satelit lain di orbit Bumi rendah bagi menyediakan pelbagai sasaran untuk penjejakan.

Kaedah itu turut mengambil kira bagaimana berat air dan ais boleh menyebabkan kerak Bumi berubah bentuk  dan bagaimana perubahan itu boleh turut menjejaskan stesen planet tersebut.

Para saintis mengesan pusat jisim Bumi berayun mengikut musim dan berkata, keadaan itu berkemungkinan disebabkan perubahan pada lautan, atmosfera serta air di daratan benua sepanjang bulan-bulan berkenaan. 

Kesan dripada perubahan bebanan berkenaan menyebabkan pusat jisim Bumi berputar dan berganjak dari pusat geometri asal planet sehingga beberapa milimeter.

Meskipun julat pergerakan tersebut kelihatan kecil, pakar memberi amaran bahawa pergeseran berkenaan berupaya mencetuskan ralat berantai pada sistem navigasi dan pengukuran kedudukan berpresisi tinggi yang menjadi tonggak pelbagai sektor moden hari ini.

Pendedahan terbaharu oleh sekumpulan pakar saintis NASA mengesahkan bahawa permu­kaan dan struktur planet ini sen­tiasa mengalami proses mam­patan dan lenturan akibat perubahan bebanan jisim air, ais serta tekanan atmosfera mengikut perubahan musim.

Fenomena semula jadi tersebut dipengaruhi secara berterusan oleh pembekuan musim sejuk, pencairan ais pada musim bunga, pergolakan arus lautan serta dinamik pergerakan atmosfera. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×