PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon, Azza Elite, meluahkan rasa terkilan melihat tindakan beberapa individu dipercayai sebagai aktivis, yang menendang makanan milik seorang peniaga warga asing dalam video tular baru-baru ini.
Azza atau Noor Azzarima Zawari, 49, berkata, jika peniaga itu mengakui kesilapannya dan mahu mengemas sendiri jualannya, dia sepatutnya diberi peluang berbuat demikian tanpa perlu dilayan dengan kasar.
“Saya rasa amat sedih sebab terlihat satu video beberapa orang menendang makanan. Ya dik, kalau orang itu salah pun, perikemanusiaan ya.
“Dia cakap dia kemas, jadi bagi dia kemas. Tak baik tau, berdosa besar awak tendang makanan,” katanya menerusi satu hantaran di Threads miliknya.
Menurut Azza, apa yang lebih menyentuh hatinya ialah apabila melihat peniaga berkenaan tidak melawan tetapi hanya mahu supaya diberi ruang untuk mengemas sendiri.
“Kenapa awak kasar sangat? Dia kata, ‘Baik tuan, saya kemas.’ Jadi jangan sampai mencela makanan dengan kaki,” ujarnya.
Kata pelakon Sembilu itu, sebagai seorang peniaga, dia mudah tersentuh apabila melihat makanan diperlakukan sedemikian kerana memahami nilai setiap rezeki yang diusahakan.
“Ya Allah, sebab saya berniaga jadi saya cepat terasa. Minta maaflah, hati saya hati tisu. Bab makanan jangan dibuat main. Macam disiat-siat hati,” katanya.
Terdahulu, menerusi video berdurasi 30 saat itu, kelihatan beberapa individu dipercayai aktivis pencegah warga asing menerjah sebuah gerai jualan daun sirih yang dikendalikan oleh seorang lelaki warga asing.
Rata-rata menyifatkan tindakan merosakkan jualan atau menendang barang adalah melampau dan tidak mencerminkan nilai budi bahasa, selain menyarankan agar perkara tersebut diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) atau Jabatan Imigresen Malaysia.










