NEW YORK: Malaysia mencadangkan tiga keutamaan bagi memperkukuh usaha membina keamanan iaitu memastikan pemilikan nasional dan keterangkuman, menterjemahkan usaha Suruhanjaya Pembinaan Keamanan kepada tindakan yang diselaraskan serta memperkukuh kapasiti negara dan modal insan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pembinaan keamanan perlu menjadi proses berterusan yang membina dan mengekalkan masyarakat aman dan inklusif, komuniti berdaya tahan serta ekonomi yang stabil.
Mohamad kini berada di New York dari 23 hingga 27 Sept bagi mengetuai delegasi Malaysia ke sesi ke-81 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).
“Pembinaan keamanan tidak seharusnya menunggu sehingga konflik tercetus atau sehingga konflik berakhir,” kata beliau ketika menyampaikan intervensi pada Mesyuarat Menteri-Menteri Suruhanjaya Pembinaan Keamanan di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini pada Khamis.
Mohamad berkata komitmen Malaysia, termasuk menerusi resolusi 2025 Peacebuilding Architecture Review (PBAR), perlu diterjemahkan kepada penambahbaikan nyata dalam kehidupan rakyat.
“Dalam hal ini, Malaysia ingin menekankan tiga perkara,” kata beliau.
Mengenai perkara pertama, Mohamad berkata usaha pembinaan keamanan perlu diterajui oleh negara sendiri, bermakna dan inklusif.
“Sehubungan itu, Malaysia menyokong strategi pencegahan dan pembinaan keamanan yang diterajui negara sendiri, dilengkapi dengan diplomasi pencegahan dan pengantaraan,” kata Mohamad.
Beliau berkata pembinaan keamanan juga perlu memastikan penyertaan menyeluruh, sama rata dan selamat oleh wanita.
“Inilah sebabnya Malaysia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN mengenai Wanita, Keamanan dan Keselamatan 2025 di Kuala Lumpur,” katanya.
Menurut Mohamad, sidang kemuncak itu menegaskan semula kepentingan kepimpinan wanita dalam pembinaan keamanan, menggesa langkah lebih kukuh bagi mencegah dan menangani keganasan terhadap wanita serta memperluas penerapan perspektif Wanita, Keamanan dan Keselamatan dalam cabaran keselamatan yang sedang muncul.
Mengenai perkara kedua, beliau berkata usaha Suruhanjaya Pembinaan Keamanan perlu diterjemahkan kepada tindakan yang diselaraskan, sambil menegaskan bahawa pembangunan dan keamanan saling memperkukuh.
“Pembangunan mampan dapat menangani keadaan asas yang mencetuskan konflik, manakala kestabilan membolehkan pembangunan bertapak,” kata beliau.
Mohamad berkata, Malaysia menyokong kerjasama lebih kukuh antara Suruhanjaya Pembinaan Keamanan dan Majlis Ekonomi dan Sosial bagi meningkatkan keselarasan dalam usaha pembangunan, kemanusiaan dan pembinaan keamanan.
“Kerjasama ini penting bagi memastikan sokongan antarabangsa responsif terhadap keutamaan negara, saling memperkukuh dan mampu memberikan impak yang lebih besar di lapangan,” kata beliau.
Mengenai perkara ketiga, Mohamad berkata pembinaan keamanan perlu memperkukuh kapasiti negara dan modal insan.
Beliau berkata Malaysia berkongsi pengalaman pembangunan dan kepakaran dengan negara membangun, termasuk negara yang sedang pulih daripada konflik, menerusi Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).
“Sejak 1980, lebih 38,000 peserta dari 144 negara telah mendapat manfaat daripada MTCP,” kata beliau sambil menegaskan bahawa keamanan ialah tanggungjawab bersama dan menyeru negara anggota supaya bekerjasama untuk memupuk serta memeliharanya.-BERNAMA











