HULU TERENGGANU: Tindakan seorang pemandu lori melalui jalan yang ditutup mengundang padah apabila kenderaan tanpa muatan itu terjunam ke kawasan tanah runtuh berhampiran Sungai Deka Elephant Conservation, Jalan Aring 8-Kenyir-Kuala Jeneris, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.40 petang itu, pemandu lori, Mohd Sapawi Said, 57, bersama isterinya, Siti Noryani Idris, 55, bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan serius.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, siasatan awal mendapati lori jenis Isuzu itu dalam perjalanan dari rumah pasangan berkenaan di Ajil menuju ke Kuala Krai, Kelantan bagi mengambil bekalan buah-buahan.
Katanya, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, Mohd. Sapawi dan isterinya memberhentikan lori sebelum turun untuk melihat keadaan jalan berikutan kawasan berkenaan dilanda tanah runtuh.
“Ketika kedua-duanya berada di luar lori, kenderaan itu secara tiba-tiba dipercayai mengalami kerosakan pada sistem brek sebelum meluncur masuk ke kawasan tanah runtuh,” katanya hari ini.
Beliau berkata, lokasi kejadian adalah kawasan tanah runtuh dan jalan berkenaan telah diwartakan tutup kepada semua kenderaan. – UTUSAN











