Belia pewaris Malaysia–Minangkabau

Belia pewaris Malaysia–Minangkabau

DELEGASI daripada Negeri Sembilan dan Wakil Diaspora Minangkabau Network, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HUBUNGAN Malaysia dengan masyarakat Minangkabau mempunyai akar yang kukuh melalui sejarah, adat, budaya dan pertalian leluhur. Kedekatan itu terserlah khususnya antara Negeri Sembilan dengan masyarakat Minangkabau di Sumatera Barat yang berkongsi sebahagian unsur adat serta warisan sosial.

Namun, bagi generasi hari ini, hubungan tersebut tidak seharusnya kekal sebagai nostalgia sejarah, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada kerjasama yang memberi nilai kepada kehidupan dan pembangunan anak muda.

Perjalanan Pulang ka Ranah ke Sumatera Barat baru-baru ini membuka ruang untuk melihat potensi tersebut dengan lebih dekat. Pertemuan bersama institusi pendidikan, komuniti, tokoh adat serta pihak tempatan memperlihatkan bahawa hubungan Malaysia–Minangkabau mempunyai asas sosial dan budaya yang boleh dikembangkan kepada kerjasama lebih produktif, khususnya dalam membuka peluang ekonomi kepada belia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pembangunan ekonomi anak muda tidak seharusnya terhad kepada penyediaan pekerjaan. Mereka memerlukan ekosistem yang membolehkan ilmu, kemahiran, pengalaman dan jaringan dikembangkan, di samping ruang untuk mencuba idea serta perusahaan baharu. Dalam konteks ini, hubungan Malaysia–Minangkabau mempunyai kelebihan kerana kedua-dua masyarakat tidak perlu bermula dari kosong. 

Sejarah, budaya dan hubungan sosial yang panjang sudah menyediakan asas kepercayaan untuk membina jaringan antara generasi muda.

Namun, hubungan tersebut perlu bergerak daripada kunjungan kebudayaan dan program seremonial kepada kerjasama yang menghasilkan idea, produk serta peluang pasaran. 

Belia perlu diberikan peranan sejak peringkat mengenal pasti potensi, membangunkan idea, merancang produk, memahami pasaran hingga mengurus perusahaan. Dengan penglibatan secara langsung, mereka bukan sekadar penerima program tetapi menjadi pemilik kepada projek yang dibangunkan.

Pandangan itu turut dikongsi mahasiswa Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Muhammad Thaqif Umair Saiful Bahri yang menekankan kepentingan pengalaman langsung, keterlibatan bersama serta ruang untuk generasi muda memahami realiti masyarakat dan potensi ekonomi setempat.

Penglibatan dalam program rentas wilayah juga dapat memperluas pengetahuan, keyakinan, kemahiran komunikasi dan kepimpinan.

Ekonomi kreatif boleh menjadi antara ruang yang sesuai untuk dikembangkan. Kekayaan Minangkabau dalam tekstil, songket, kraftangan, gastronomi, seni dan sejarah mempunyai nilai budaya serta potensi ekonomi. 

Kreativiti, teknologi dan pengetahuan pemasaran generasi muda pula boleh membantu menghasilkan nilai baharu tanpa menghilangkan identiti asal warisan tersebut.

Gastronomi turut mempunyai ruang besar untuk kerjasama. Belia Malaysia dan Minangkabau boleh berganding dalam pembangunan produk makanan, penjenamaan, pembungkusan, pemasaran digital serta penerokaan pasaran.

Pengusaha muda Sumatera Barat boleh menyumbang pengetahuan tempatan, resepi dan identiti produk, manakala rakan di Malaysia membawa kefahaman terhadap citarasa pengguna serta saluran pemasaran.

Semangat merantau yang dekat dengan masyarakat Minangkabau juga boleh diterjemahkan melalui pertukaran mahasiswa, latihan industri, sangkutan keusahawanan, projek komuniti dan penempatan bersama perusahaan tempatan. Program seperti ini perlu memberi pengalaman sebenar, bukan sekadar lawatan supaya belia dapat mempelajari pengurusan, pemasaran, komunikasi dan penyelesaian masalah.

Teknologi digital pula membuka ruang lebih luas kerana media sosial, perdagangan elektronik dan platform digital membolehkan perusahaan kecil menjangkau pasaran merentasi sempadan. 

Belia yang mempunyai kemahiran kandungan digital, reka bentuk dan pemasaran boleh menjadi penghubung antara produk tempatan dengan pengguna yang lebih luas.

Bagi memastikan usaha ini berterusan, institusi pendidikan, kerajaan tempatan, organisasi belia dan pemain industri perlu menyediakan latihan, bimbingan, mentor, jaringan serta akses pasaran. Penyelarasan antara mobiliti, keusahawanan, pembangunan produk dan pembiayaan awal penting supaya idea tidak terhenti selepas sesuatu program berakhir.

Belia akhirnya bukan sekadar pewaris hubungan yang dibina generasi terdahulu. Mereka perlu menjadi penggerak yang memberikan makna baharu kepada warisan melalui kerjasama yang relevan dengan keperluan semasa. Warisan menjadi titik pertemuan, budaya membentuk identiti, manakala jaringan membuka ruang untuk mencipta peluang yang memberi manfaat kepada generasi seterusnya.-UTUSAN

 

 DR. NOR AZRUL MOHD. ZIN

Pensyarah Kanan,

Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran (SEEDS), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, 

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×