Akses kesihatan pelarian perlu menyeluruh

Akses kesihatan pelarian perlu menyeluruh

KSES kesihatan pelarian perlu dilihat secara menyeluruh dengan mengimbangi nilai kemanusiaan, keperluan kesihatan awam serta kepentingan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) wajar dipuji atas rekod cemerlang serta usaha berterusan menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada seluruh lapisan masyarakat. 

Ketika ini, pelarian dan pencari suaka di Malaysia diberikan diskaun 50 peratus daripada kadar bayaran perubatan warga asing di hospital kerajaan. Namun, pelbagai kajian menunjukkan golongan rentan ini masih menghadapi cabaran untuk mendapatkan rawatan.

Antara halangan utama ialah pelarian tidak dibenarkan bekerja secara sah. Kebanyakannya bergantung kepada pekerjaan tidak formal yang berpendapatan rendah serta terdedah kepada eksploitasi. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam keadaan demikian, keperluan kesihatan sukar diberi keutamaan kerana pendapatan hanya mencukupi untuk memenuhi keperluan harian.

Mereka juga berdepan kebimbangan ditahan pihak berkuasa menyebabkan sebahagian memilih untuk mengehadkan pergerakan dan mengelakkan tempat awam. 

Keadaan ini secara tidak langsung menyukarkan mereka mendapatkan rawatan. Bagi anak-anak pula, akses kepada pendidikan rasmi yang terhad menjejaskan tahap literasi serta kesedaran kesihatan, sekali gus menyukarkan mereka memanfaatkan sistem kesihatan dengan berkesan.

Kesan daripada halangan tersebut dapat dilihat dalam aspek imunisasi. Kajian menunjukkan kesedaran mengenai kepentingan vaksin dalam kalangan pelarian agak tinggi, namun hanya 73.7 peratus kanak-kanak menerima vaksin Measles, Mumps and Rubella (MMR), berbanding purata kebangsaan melebihi 95 peratus. 

Faktor seperti kos pengangkutan, kebimbangan berhadapan pihak berkuasa, literasi rendah dan kurang kesedaran kesihatan antara penyumbang kepada jurang itu.

Kesukaran mendapatkan rawatan juga boleh menyebabkan pelarian hanya hadir ke fasiliti kesihatan apabila keadaan sudah kritikal. Pada tahap tersebut, rawatan lazimnya lebih rumit dan mahal, sekali gus meningkatkan kos yang perlu ditanggung sistem kesihatan negara.

Dalam konteks penyakit berjangkit, diagnosis serta rawatan awal turut penting kepada keselamatan masyarakat keseluruhannya. Ungkapan ‘tiada siapa yang selamat sehinggalah semua orang selamat’ menggambarkan keperluan saringan, pengesanan kes dan rawatan secara menyeluruh tanpa diskriminasi bagi memastikan penularan penyakit dapat dikawal.

Golongan wanita pula berdepan risiko terlepas penjagaan kehamilan, bersalin di rumah atau lewat mendapatkan rawatan. Kadar kematian ibu dalam kalangan bukan warganegara dilaporkan lebih tinggi daripada purata kebangsaan. Keadaan ini memberi kesan kepada usaha menjaga kesihatan ibu dan bayi.

Setakat Februari 2026, terdapat kira-kira 215,600 pelarian berdaftar di Malaysia daripada anggaran populasi 34.9 juta orang, iaitu sekitar 0.6 peratus keseluruhan penduduk. 

Tinjauan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) terhadap 1,728 pelarian pada 2022 pula mendapati hanya kira-kira lima peratus menggunakan kemudahan kesihatan awam seperti Klinik Kesihatan dan hospital kerajaan.

Angka ini menunjukkan penggunaan kemudahan awam oleh pelarian merupakan sebahagian kecil daripada keseluruhan pengguna. Justeru, tanggapan bahawa mereka menjadi beban kewangan kepada sistem kesihatan perlu dilihat berdasarkan data, bukan angka yang disensasikan di media sosial.

Kajian Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) pada 2019 mengunjurkan sumbangan pelarian kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia boleh melebihi RM3 bilion setahun sekiranya mereka diberikan hak bekerja secara sah. Dasar penggajian inklusif berpotensi membolehkan mereka berdikari, menyumbang kepada ekonomi serta membayar cukai.

Malaysia dibina atas nilai perikemanusiaan, toleransi dan rasa hormat terhadap kepelbagaian. Prinsip ini boleh diterjemahkan melalui pendekatan yang membantu pelarian berdikari tanpa mengabaikan keselamatan serta kedaulatan undang-undang.

Akses rasmi kepada pasaran kerja boleh memberikan pendapatan lebih stabil, di samping membuka ruang kepada kutipan cukai dan skim insurans kesihatan. Skim sedia ada yang diuruskan UNHCR juga boleh dimanfaatkan serta diperluaskan dengan sokongan kerajaan.

Pada masa sama, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), organisasi masyarakat sivil dan pertubuhan tidak berasaskan keuntungan perlu terus diperkasa dalam penyediaan perkhidmatan kesihatan serta pendidikan. Pendidikan pula wajar dilihat sebagai asas penting kepada kesihatan dan masa depan kanak-kanak, termasuk anak-anak pelarian. -UTUSAN

 

RAUDAH M. YUNUS, SOK TENG TAN, LUQMAN IBRAHIM, HAMIMATUNNISA JOHAR & SITI NORAIDA HABIBULLAH

Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×