BAHANG politik negara yang masih belum reda susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini kini kembali memuncak berikutan pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka berkuat kuasa pada 23 September, lalu.
Ini bermakna dalam tempoh kurang daripada 60 hari, akan berhadapan dengan PRN Melaka ke-16.
Dalam PRN ini, bakal menyaksikan pertempuran sengit gergasi-gergasi politik tanah air yang akan berentap untuk mendapatkan mandat mewakili 28 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Paling menarik untuk diperhatikan ialah siapa lawan siapa semasa PRN ini nanti.
Dalam keadaan politik semasa yang sangat dinamik, lawan boleh bertukar menjadi kawan dan begitu juga sebaliknya. Oleh kerana itu, kita harus mampu membuka minda dan berfikir secara bijaksana. Yang baik harus diakui baik, dan yang tidak perlu diperbetulkan.
Lihat sahaja kerajaan pusat pada hari ini. Siapa sangka para menteri dari parti politik yang pernah bermusuhan masih boleh bekerja keras secara profesional di sebalik pelbagai bentuk cabaran dihadapi? Suka atau tidak, inilah situasi politik pada hari ini yang sebenarnya menandakan kematangan.
Hal ini sering saya bincangkan bersama rakan-rakan di universiti. Anak muda mesti lebih matang berpolitik, bersikap bijaksana dan tidak bersikap jumud. Kita harus bersikap lebih terbuka, serta sentiasa mendahulukan kestabilan negara dan dalam apa sahaja keadaan.
Ada dalam kalangan anak muda yang beranggapan lantang membantah merupakan tanda kematangan dalam berpolitik, sedangkan mereka sendiri tidak mempunyai pendekatan konstruktif untuk memperbaiki keadaan.
Sememangnya lebih mudah untuk sekadar bising berleter menjalar-jalar dalam membantah dan menuntut sesuatu yang dilakukan pihak lain, berbanding melakukan tindakan tersebut sendiri.
Berpolitik ini bukanlah bermakna mencari salah orang lain. Bercakap berdegar-degar tidak melambangkan kebijakan jika apa yang diucapkan itu umpama tin kosong. Malangnya, ada segelintir orang muda yang merasakan lebih kuat tin kosong itu menempik omongan kosong, lebih hebatlah orangnya.
Dalam pada itu, jangan pula menjadi lalang yang sekadar hanya mengikut arah tiupan angin. Hanya kerana naratif utama di media sosial menyelar sesetengah pihak atas sesuatu perkara tidak bermakna perkara itu benar.
Naratif media sosial sering dimanipulasikan jurudyah politik, lagi-lagi yang mempunyai kepentingan peribadi.
Seperti biasa, musim pilihan raya akan membawa pelbagai kisah bagi menawan hati pengundi atau untuk mencipta kemarahan ke atas pihak lawan. Sasaran utamanya tentulah pengundi atas pagar, khasnya anak-anak muda yang baru mula mengundi dan dianggap belum memahami sepak terajang dunia kuasa.
Justeru, kita harus sedar cerita-cerita panas yang muncul di suapan media sosial itu belum tentu sahih walaupun kelihatan seolah-olah benar. Malah, ada juga pihak media yang bertindak tidak bertanggungjawab dalam memberi liputan berat sebelah, termasuk melabelkan sesetengah pihak ini dan itu untuk mempengaruhi orang.
Fitnah sudah menjadi seakan-akan budaya kepada sesetengah rakyat. Bagi mereka, fitnah itu satu senjata ampuh, sebahagian strategi untuk mengalahkan lawan dalam pilihan raya.
Kita juga akan dihidangkan dengan permainan persepsi untuk mempengaruhi sokongan. Tidak ketinggalan juga janji bulan bintang yang manis didengar tetapi hanya kekal di bibir, takkan dilaksanakan setelah mereka menang kelak.
JANGAN POLITIKKAN ADAT PERPATIH
Ketika ini, krisis adat yang berlaku di Negeri Sembilan sedang hangat dibicarakan di seluruh negara. Ada pihak yang sedang mengambil kesempatan mempolitikkan isu ini bagi mendapat laba politik.
Di sekeliling kita, ramai yang menyuarakan pelbagai pandangan mengenai hal itu tanpa benar-benar memahami situasi sebenar serta tidak bersandarkan adat dan undang-undang.
Dalam hal ini, kita bukan hanya harus memahami undang-undang Malaysia tetapi lebih penting juga mesti arif tentang Adat Perpatih dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Yang menjadi masalah, ada dalam kalangan rakyat tidak sedar undang-undang tidak boleh ditafsirkan secara sesuka hati berasaskan pendapat atau selera masing-masing, terutamanya dalam hal melibatkan urusan negeri dan urusan adat. Ini kerana setiap negeri memiliki keunikan tersendiri.
Isu ini bertambah rumit kerana melibatkan Adat Perpatih yang hanya wujud di Negeri Sembilan dan tidak difahami orang luar, malah termasuk sesetengah orang negeri sendiri. Kita sering lupa atau sengaja melupakan perbezaan di antara Adat Perpatih dan Adat Temenggung sekiranya berbahas tentang hal ini.
Lebih parah lagi, mereka memetik kata-kata daripada orang yang juga tidak memahami perkara ini sebagai asas pendapat. Akibatnya, orang ramai menjadi bertambah keliru.
Perkara ini tidak sepatutnya dijadikan perbahasan politik kerana hanya akan mendatangkan polemik lebih besar dan menimbulkan salah faham.
Kita harus ingat urusan di istana terpisah daripada politik awam, meskipun nama beberapa ahli politik dipalitkan dalam sesetengah keadaan.
Ramai lupa Adat Perpatih bukan sistem bersifat turun-temurun seperti Adat Temenggung tetapi satu sistem demokrasi berperingkat yang tidak terpaut pada dunia politik awam.
Ahli politik bukanlah sebahagian daripada sistem Undang, Lembaga, Buapak dan sebagainya, sebaliknya hanya bertujuan melengkapi urusan tersebut secara rasmi. Maka, jangan mudah menyalahkan mana-mana pihak, tidak kiralah daripada kerajaan atau pembangkang.
Daripada mengeruhkan keadaan dan terpengaruh dengan diayah politik, baiklah biarkan perkara ini kepada pakarnya selain jangan terlalu cepat ingin menjadi profesor jadian. Inilah diharapkan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab agar dapat mengucar-ngacirkan keadaan untuk memberi kelebihan pada sesetengah pihak.
Semoga kita semua terselamat daripada naratif songsang yang digembar-gemburkan secara bertubi-tubi menjelang musim pilihan raya ini. –UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).











