NEW YORK: Bintang Hollywood, Susan Sarandon dan Hannah Einbinder dilaporkan antara lebih 100 penunjuk perasaan yang ditahan Jabatan Polis New York (NYPD) selepas menyertai tunjuk perasaan di luar ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Kedua-dua pelakon itu menyertai aksi duduk beramai-ramai di luar ibu pejabat PBB di New York bagi membantah kunjungan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang berucap pada Perhimpunan Agung PBB pada Khamis.
Para penunjuk perasaan membawa sepanduk dengan pelbagai mesej, termasuk ‘Hentikan Genosid’, ‘Hentikan Pembekalan Senjata kepada Israel’, ‘Biayai Rakyat, Bukan Bom’,’Netanyahu Dikehendaki Kerana Genosid’, ‘Bebaskan Palestin’, ‘Hentikan Pengeboman Iran, Lubnan dan Palestin’ serta ‘Orang Yahudi Berkata Hentikan Pembekalan Senjata kepada Israel’.
“Kami berada di sini untuk membantah kehadiran Netanyahu, yang merupakan arkitek genosid yang disokong oleh pembiayaan daripada Amerika Syarikat (AS).
“Ini adalah genosid Amerika-Israel terhadap rakyat Palestin. Kami di sini untuk mengatakan tidak kepada perang terhadap Iran dan Lubnan, dan kami mengatakan tidak kepada genosid di Palestin,” kata Einbinder dalam rakaman video yang dikongsi di media sosial oleh Jewish Voice for Peace dan Sunrise Movement.
Jurugambar Associated Press (AP) merakam Sarandon ketika beliau ditahan anggota polis pada Khamis.
Sementara itu, rakaman yang dimuat naik di media sosial menunjukkan Einbinder dengan tangan diikat menggunakan pengikat kabel di belakang badannya ketika dibawa pergi oleh polis dari lokasi tunjuk perasaan.
Gambar kedua-dua pelakon itu dibawa pergi dalam keadaan tangan bergari tular di media sosial sebelum Netanyahu memulakan ucapannya.
Beberapa selebriti lain turut dilihat menyertai tunjuk perasaan itu, termasuk Elliot Page, Caleb Hearon, Cynthia Nixon, Sarah Sherman, Lucy Dacus dan Julien Baker.
Wakil kepada Page dan Nixon mengesahkan kehadiran kedua-dua mereka dalam tunjuk perasaan itu, namun memaklumkan mereka tidak ditahan.
Kedua-dua Einbinder dan Sarandon sebelum ini lantang mengkritik politik Israel serta menyatakan sokongan terhadap Palestin.
Einbinder bercakap di Festival Filem Cannes mengenai pendiriannya bersuara mengenai Palestin serta kemungkinan kesannya terhadap kerjayanya.
“Kos untuk tidak bersuara lebih tinggi, anda tahu? Kesannya lebih besar jika tidak bersuara dan anda perlu menetapkan keutamaan dengan jelas.
“Saya tidak pernah menganggap kerjaya kecil saya mampu dibandingkan dengan walaupun satu nyawa manusia. Jadi, anda tahu, ini satu kewajipan dan saya akan sentiasa melakukannya,” katanya.
Sarandon pula pada Festival Filem Venice pada September berkata, kerjayanya sememangnya terjejas kerana menyuarakan pendirian mengenai isu Palestin.
“Saya masih kehilangan peluang berlakon dalam filem baru-baru ini kerana terdapat agensi yang memberitahu orang lain supaya tidak mengambil saya bekerja.
“Namun, begitulah struktur kuasa. Saya rasa dalam kalangan masyarakat, khususnya di peringkat antarabangsa, saya masih diterima,” katanya.-AGENSI











