Hukuman rasuah bekas menteri pendidikan dikurangkan - Utusan Malaysia

Hukuman rasuah bekas menteri pendidikan dikurangkan

NADIEM MAKARIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Mahkamah rayuan Indonesia pada Khamis mengurangkan hukuman penjara Nadiem Makarim dalam kes rasuah sebanyak setahun.

Namun,  pengasas syarikat teknologi itu berikrar untuk membawa kesnya ke Mahkamah Agung bagi membatalkan sabitan terhadapnya sepenuhnya.

Nadiem, pengasas bersama aplikasi e-hailing Gojek dan bekas Menteri Pendidikan, dijatuhi hukuman penjara 10 tahun pada Jun kerana rasuah berkaitan perolehan komputer riba untuk sekolah ketika pandemik.

Mahkamah rayuan di ibu negara Jakarta mengurangkan hukuman itu kepada sembilan tahun dan jumlah bayaran ganti rugi yang perlu dibayar Nadiem daripada 809 bilion rupiah (RM184 juta) kepada 549 bilion rupiah (RM125 juta).

Nadiem, yang berusaha membatalkan sabitannya, memberitahu media selepas keputusan itu bahawa beliau akan membawa kes berkenaan ke Mahkamah Agung.

“Kami akan segera memfailkan rayuan secepat mungkin,” kata Nadiem.

“Saya tidak akan berputus asa dan saya tidak akan menerima sebarang keputusan selain dibebaskan.”

Nadiem, 42, yang merupakan lulusan universiti Ivy League, meninggalkan Gojek untuk menjadi antara anggota Kabinet termuda Indonesia pada 2019 dan berkhidmat sebagai Menteri Pendidikan sehingga 2024.

Beliau didapati bersalah atas tuduhan rasuah dan penyalahgunaan kuasa selepas mengubah syarat tender bagi memihak kepada pembelian Chromebook keluaran Google untuk sekolah bagi menyokong pembelajaran jarak jauh ketika pandemik Covid-19, yang mengakibatkan kerugian negara sekitar AS$120 juta (RM489 juta).

Pendakwa raya berhujah bahawa tindakan Nadiem mempunyai kaitan dengan pelaburan Google dalam Gojek.

Mahkamah rayuan mengekalkan keputusan mahkamah rendah untuk mengenakan denda berasingan sebanyak satu bilion rupiah (RM228,000) terhadapnya. 

Nadiem berdepan hukuman penjara tambahan jika gagal mematuhi penalti kewangan berkenaan.

Google tidak didakwa dalam kes itu dan syarikat berkenaan menafikan sebarang salah laku. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×