GEORGE TOWN : Pas Pulau Pinang menzahirkan rasa kesal terhadap kenyataan Exco kerajaan negeri merangkap Ketua UMNO Bahagian Nibong Tebal, Datuk Rashidi Zinol kelmarin yang menggesa agar kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dengan Barisan Nasional (BN) di Pulau Pinang terus diperkukuh.
Ketua Penerangannya, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berkata, hal ini demikian kerana, kenyataan itu dibuat ketika penyatuan ummah sepatutnya menjadi agenda paling besar dan mendesak bagi orang Melayu-Islam di peringkat negeri mahupun nasional.
Beliau berkata, lebih mendukacitakan, kenyataan itu dibuat ketika kedudukan UMNO sendiri dalam kerajaan negeri sedang dipersoalkan oleh rakan gabungannya.
“Penasihat DAP, Lim Guan Eng, secara terbuka dan berterusan mendesak agar UMNO disingkirkan daripada kerajaan Pulau Pinang manakala Ketua Menteri (Chow Kon Yeow) pula menyerahkan nasib wakil BN kepada keputusan Majlis Presiden PH.
“Hakikatnya, UMNO Pulau Pinang hanya memegang satu kerusi Exco dan kedudukan itu pun bergantung sepenuhnya kepada budi bicara PH-DAP.
“Pada masa yang sama, di Negeri Sembilan, BN telah membuka ruang kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN). Ini membuktikan penyatuan bukanlah perkara mustahil apabila ada kemahuan politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Muhammad Fawwaz mempersoalkan mengapa pimpinan UMNO negeri masih memilih untuk menjadi pelengkap kepada pentadbiran yang diterajui oleh PH-DAP kerana UMNO sepatutnya bersama-sama mereka membina kekuatan ummah demi masa depan negeri ini.
“Bagaimanapun, Pas Pulau Pinang tetap menghormati pilihan politik UMNO negeri dan kami mengucapkan selamat maju jaya kepada pimpinan UMNO Pulau Pinang yang tidak meletakkan penyatuan ummah sebagai agenda besar pada ketika ini.
“Pintu dialog Pas sentiasa terbuka. Namun, rakyat akan menilai sendiri siapa yang benar-benar berjuang menyelamatkan Pulau Pinang dan Malaysia dan siapa yang sekadar selesa dengan jawatan,” ujar beliau.-UTUSAN











