Malaysia tiada pilihan, wajib menang dua aksi terakhir

Malaysia tiada pilihan, wajib menang dua aksi terakhir

Aksi pemain hoki wanita negara ketika bertemu China yang berkesudahan tewas 4-0 dalam kempen Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, semalam. - Asian Hockey Federation
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad hoki wanita negara tiada pilihan selain mencatatkan kemenangan dalam dua aksi terakhir peringkat kumpulan bagi memastikan impian melangkah ke separuh akhir Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 menjadi kenyataan.

Pengendali skuad negara, CR Kumar berkata, kemenangan ke atas Taiwan esok dan Korea Selatan pada Ahad ini amat penting selepas Malaysia kini berada di kedudukan ketiga Kumpulan A dengan mengumpul enam mata.

Ketika ini, China dan Korea Selatan berkongsi sembilan mata di kedudukan teratas, namun China mendahului kumpulan berdasarkan perbezaan jaringan.

“Kita perlu memenangi kedua-dua perlawanan tersebut untuk mara ke separuh akhir dan para pemain sudah sedia maklum tentang perkara ini.

“Mereka sedar bahawa prestasi mereka semakin bertambah baik dari hari ke hari dan sudah tentu untuk dua perlawanan seterusnya mereka akan memberikan persembahan terbaik serta berusaha untuk berada di separuh akhir. Itulah sasaran kami,” katanya.

Semalam, Malaysian Tigress terpaksa akur dengan pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2024, China apabila tumpas 4-0 dan mengulas lanjut mengenai aksi tersebut, Kumar mengakui beberapa kesilapan di bahagian pertahanan telah membuka peluang kepada lawan.

“Para pemain telah memberikan persembahan terbaik mereka, khususnya dari segi bertahan. Memang ada beberapa kesilapan yang sepatutnya boleh dielakkan, tetapi dalam perlawanan sengit menentang pasukan di ranking keempat dunia, ini adalah persembahan terbaik daripada pemain.

“Saya percaya mereka mempunyai semangat kerja berpasukan yang sangat baik. Mereka mengikut arahan dengan baik dan memberikan aksi terbaik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×