KUALA TERENGGANU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Terengganu sedang mengenal pasti dan meneydiakan profil individu gelandangan yang berada di kawasan Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di sini.
Pengarahnya, Ismail Kasan berkata, langkah itu penting bagi membolehkan pihaknya mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai latar belakang, status keluarga, keperluan kebajikan serta keadaan setiap individu terbabit.
Katanya, JKM mengambil maklum dan prihatin terhadap isu kehadiran golongan gelandangan di kawasan berkenaan yang mendapat perhatian masyarakat sejak akhir-akhir ini.
“JKM telah mengambil tindakan terhadap individu yang dikenal pasti dengan melaksanakan pengurusan dan penempatan berdasarkan keadaan, keperluan serta bidang kuasa yang bersesuaian.
“Tindakan tersebut dilaksanakan berlandaskan peruntukan perundangan berkaitan, termasuk Akta Orang Papa 1977 (Akta 183) dan bagi kes yang melibatkan kanak-kanak, Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611),” katanya hari ini.
Menurutnya, proses pengumpulan maklumat itu membantu JKM merancang bentuk intervensi dan bantuan yang bersesuaian mengikut keperluan setiap individu.
“Berdasarkan pemerhatian awal, terdapat individu yang mungkin memerlukan penilaian dan bantuan lanjut berkaitan kesihatan mental. Sehubungan itu, JKM sedang menyelaras tindakan bersama agensi kesihatan berkaitan bagi membolehkan individu yang memerlukan dirujuk untuk penilaian dan intervensi yang bersesuaian,” katanya.
Pada 11 September lalu, Utusan Malaysia melaporkan Hentian Bas MBKT menjadi ‘rumah’ kepada lebih 20 gelandangan yang menjadikan kawasan berkenaan sebagai tempat berteduh.
Kehadiran golongan berkenaan turut menimbulkan persoalan berkaitan aspek keselamatan dan sosial, khususnya kepada orang awam yang menggunakan kemudahan awam tersebut. – UTUSAN










