MBKT swastakan tempat letak kereta 1 Julai - Utusan Malaysia

MBKT swastakan tempat letak kereta 1 Julai

ALIAS RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) kini menswastakan kesemua 6,000 tempat letak kereta berbayar di bahu-bahu jalan mulai 1 Julai lalu bagi mengatasi masalah kerugian yang ditanggung sejak 2016.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, kerugian itu berpunca akibat kerosakan meter tempat letak kereta yang telah digunakan di bandar raya ini sejak 20 tahun lalu.

Jumlah kerugian bersih MBKT pada 2016 ialah RM170,000 diikuti RM484,000 pada 2017, RM850,000 (2018) dan tahun lalu nilainya mencecah RM1 juta iaitu RM918,000.

“Kita sedia maklum sistem manual dahulu sudah jarang digunakan di bandar besar di samping banyak yang rosak akibat usia dan vandelisme, oleh itu MBKT mengambil inisiatif menaik taraf pembayaran secara dalam talian melalui kemudahan Touch ‘n Go, MyKad atau aplikasi khusus tertentu, namun proses ini tentunya membabitkan kos tinggi jadi  langkah penswastaan diambil,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika menjawab soalan lisan yang dikemukakan Datuk Seri Ahmad Said (BN-Kijal) dalam Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga DUN Terengganu Ke-14 di Wisma Darul Iman hari ini.

Alias berkata, langkah penswastaan itu bakal memberi pulangan tetap sebanyak RM975,000 setahun kepada MBKT yang akan dibayar pihak Vista Summerose Sdn. Bhd, sebuah syarikat bumiputera yang dilantik bagi tujuan tersebut.

Dalam perkembangan sama, katanya, daripada keseluruhan 70 kakitangan unit itu, 34 bakal bekerja dengan pihak swasta yang dilantik manakala 36 lagi diserap ke jabatan lain di MBKT sekali gus mengurangkan kos di samping mengoptimumkan tenaga. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya