NEW YORK: Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan memulakan agenda beliau di luar sesi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-81 (UNGA 81) di sini Rabu (23 Sept) dengan menerima kunjungan hormat Setiausaha Agung Komanwel Shirley Botchwey.
Menurut kenyataan yang dimuat naik di media sosial Mohamad, pertemuan itu memberi tumpuan kepada hala tuju masa depan Komanwel dalam menangani cabaran global semasa, selain persiapan bagi Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel ke-28 (CHOGM 2026) di Antigua dan Barbuda.
Mohamad dan Shirley turut membincangkan cabaran yang dihadapi Komanwel, termasuk berkaitan demokrasi, kedaulatan undang-undang dan hak asasi manusia.
“Dalam hal ini, Malaysia terus diberikan kepercayaan sebagai ahli Kumpulan Tindakan Menteri Komanwel (CMAG) untuk mempertahankan nilai dan prinsip Komanwel. Malaysia menjadi ahli CMAG sejak 2018,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan persiapan bagi CHOGM 2026 yang dijadual berlangsung dari 1 hingga 4 Nov turut dibincangkan.
Mohamad akan mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada mesyuarat berkenaan yang antara lain akan memberi tumpuan kepada usaha meneroka peluang perdagangan dan pelaburan.
Malaysia turut mengalu-alukan peluasan jaringan hubungan Komanwel dengan negara lain, termasuk Bahrain, Brazil, Kuwait, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), yang dijemput menghadiri CHOGM 2026 buat kali pertama.
Sementara itu, menurut senarai atur cara yang dibekalkan kepada media, program Mohamad pada Khamis (24 Sept) merangkumi beberapa mesyuarat peringkat menteri berprofil tinggi di Ibu Pejabat PBB.
Beliau dijadual menghadiri Mesyuarat Peringkat Menteri Suruhanjaya Pembinaan Keamanan (PBC) di Dewan Majlis Amanah, dengan Malaysia disenaraikan di tempat ke-34 dalam giliran berucap.
Program itu akan disusuli Mesyuarat Penyelarasan Tahunan Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Malaysia dijadualkan berucap selepas Kyrgyzstan dan sebelum Sierra Leone.
Mohamad kemudian dijadual menghadiri Mesyuarat Peringkat Menteri bagi Menyokong UNRWA 2026 di Dewan Majlis Ekonomi dan Sosial (ECOSOC).
Satu pertemuan dua hala secara santai dengan Menteri Luar Norway, Espen Barth Eide, juga telah dijadualkan.
Beliau kemudiannya dijadual berucap pada Mesyuarat Peringkat Tinggi bagi Menangani Ancaman Kewujudan Akibat Kenaikan Paras Laut, dengan Malaysia disenaraikan di tempat ke-61 dalam giliran ucapan.
Mohamad akan mengakhiri program hari itu dengan menerima kunjungan hormat Presiden Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) Mirjana Spoljaric Egger di Ibu Pejabat PBB.
Mohamad berada di New York dari 23 hingga 27 Sept bagi mengetuai delegasi Malaysia ke UNGA 81. – BERNAMA











