TANJUNG MALIM: Kepincangan yang berlaku dalam Perikatan Nasional (PN) menyebabkan penggantungan pendaftaran gabungan tersebut oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, penggantungan semua aktiviti PN kerana rungutan ataupun komen yang dihantar oleh salah sebuah parti gabungan itu.
“Tentunya ada beberapa kepincangan yang telah berlaku di dalam Perikatan Nasional (PN) yang menyebabkan penggantungan ini dibuat.
“Kita harap perkara ini dihadapi dengan tenang terutamanya parti-parti yang bergabung dalam PN yang akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16),” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Tengah 2026 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Kampus Sultan Azlan Shah di sini hari ini.
Ahmad Zahid berharap perkara itu dihadapi dengan tenang terutamanya parti-parti yang bergabung dalam PN yang akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
“PN mungkin mempunyai perancangan sendiri sekiranya penggantungan itu diteruskan seperti menggunakan lambang parti masing-masing,” katanya.
Jelasnya, Akta Pertubuhan 1966 Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dipraktikkan untuk menjaga kepentingan ahli atau anggota pertubuhan yang berdaftar dengan RoS.
Media melaporkan RoS mengeluarkan perintah penggantungan terhadap semua aktiviti Perikatan Nasional (PN) berkuat kuasa semalam.
Menurut RoS, tindakan itu diambil di bawah Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966 susulan notis yang dikeluarkan kepada PN kelmarin.
RoS menjelaskan notis berkenaan bertujuan mendapatkan penjelasan daripada PN berhubung aduan yang dikemukakan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), bukannya membatalkan gabungan parti tersebut sebaliknya bagi memberi ruang kepada gabungan berkenaan mengemukakan penjelasan dalam tempoh yang munasabah.
Sementara itu, mengenai PRN Melaka, Ahmad Zahid berkata, beliau menyerahkan mandat kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
Menurutnya, BN akan mengadakan perbincangan dengan mana-mana parti gabungan atau parti-parti politik yang mahu menjalin kesefahaman dengan BN Melaka.
“Saya telah memberikan mandat kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh bersama-sama dengan pegawai-pegawai di pejabat untuk mengadakan perbincangan dan perundingan,” katanya. – UTUSAN











