NAGOYA: Penantian 36 tahun Malaysia untuk kembali menjulang pingat emas acara regu berpasukan sepak takraw Sukan Asia kini hanya berbaki satu kemenangan selepas skuad negara menewaskan Indonesia 2-1 dalam aksi separuh akhir Aichi-Nagoya 2026, sebentar tadi.
Kejayaan itu hadir menerusi kebangkitan dramatik regu ketiga negara yang terlebih dahulu tewas pada set pertama sebelum bangkit mengheret perlawanan ke set penentuan dan memastikan kemenangan 15-11.
Trio Muhammad Zarif Marican Ibrahim, Amirul Zazwan Amir dan Muhammad Hafizul Hayazi Adnan berdepan tekanan hebat ketika Indonesia cuba menutup ruang Malaysia, namun ketenangan mereka pada dua set terakhir akhirnya menjadi pemisah.
Berita berkaitan:
Zarif yang memulakan tugas sebagai tekong turut digantikan Muhammad Haziq Hairul Nizam pada penghujung set pertama dalam usaha mengubah rentak permainan, namun Indonesia terus memberikan tentangan sengit.
Malaysia kemudian kembali menemukan rentak untuk memenangi set kedua 15-11 sebelum mengawal permainan dengan lebih kemas dalam set penentuan untuk mengulangi keputusan sama, sekali gus menamatkan cabaran Indonesia.
Sebelum itu, Malaysia terlebih dahulu diletakkan dalam keadaan sukar apabila regu pertama yang dibarisi Muhammad Zulkifli Abd Razak, Aidil Aiman Azwawi dan Muhammad Afifudin Razali tewas kepada trio Indonesia, Saiful Rijal, Yudha Aswinata dan Muhammad Hardiansyah Muliang.
Pertarungan sengit tiga set itu berakhir 15-10, 13-15, 13-15 untuk memaksa Malaysia mengejar kemenangan bagi menghidupkan peluang ke final.
Regu kedua negara yang menampilkan Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Farhan Adam dan Mohamad Azlan Alias kemudian tampil sebagai pencetus kebangkitan apabila menewaskan Jelki Ladada, Syamsul Akmal dan Andy Try Sandi Saputra 15-10, 15-6.
Kejayaan itu menyamakan kedudukan 1-1 sebelum regu ketiga menyempurnakan kebangkitan untuk membawa Malaysia ke final dan membuka peluang menamatkan kemarau emas acara berkenaan sejak kejayaan pada Sukan Asia Beijing 1990.
Malaysia kini akan berdepan musuh tradisi, Thailand dalam perebutan pingat emas pada aksi final, esok, selepas juara bertahan itu menewaskan Jepun 2-0 dalam satu lagi separuh akhir.-UTUSAN











