Tiada masalah buka baju asalkan tutup aurat - Aniq Suhair - Utusan Malaysia

Tiada masalah buka baju asalkan tutup aurat – Aniq Suhair

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Aniq Suhair, 25, tidak mempunyai sebarang masalah untuk melakonkan babak buka baju dalam mana-mana drama atau filem yang dilakonkannya.

Bagaimanapun katanya pengarah atau penerbit perlu menjelaskan keperluan babak tersebut selain ianya dilakukan tanpa mendedahkan bahagian auratnya.

“Untuk babak tidak berbaju ini, ianya, menjadi permintaan pengarah secara tiba-tiba di set penggambaran, dalam skrip tidak tertulis pun babak itu.

“Saya sebelum melakukannya, akan bertanya dahulu, adakah babak itu perlu dan apa tujuannya (buka baju), jika penjelasan itu cukup, maka saya akan buat asalkan tidak mendedahkan aurat,” katanya ketika ditemui semasa tayangan filem Bisikan Dosa di TGV KLCC semalam.

Disoal mengenai babak buka baju dalam filem tersebut, Aniq mengakui beliau cuba menjaga untuk tidak mendedahkan pusat namun gagal disebabkan seluar yang agak longgar.

“Memang saya cuba menjaga (aurat), saya tak mahu terlalu mendedahkan.

“Tapi dalam filem ini, saya cuba untuk tarik seluar saya sehingga menutup pusat, tapi oleh kerana ianya longgar, seluar itu terjatuh dan menampakkan sedikit aurat saya.

“Saya bersyukur kerana lutut tidak terdedah. Apa pun saya memang cuba menjaga hal ehwal mengenai aurat ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Aniq memaklumkan dia sebenarnya tidak bersedia untuk melakonkan babak berkenaan disebabkan ada beberapa anggota yang belum siap dibentuk.

“Saya rasa penonton akan lebih mengecam keadaan perut saya yang sedikit menggeleber.

“Sejujurnya waktu itu memang saya dalam proses membesarkan badan tanpa mengetahui ada tawaran daripada Datuk A.Aida untuk membintangi filem ini.

“Dan saya tidak mengetahui yang saya akan melakonkan babak tidak berbaju dalam filem ini yang menjadi permintaan produser sendiri.

“Saya agak terkejut apabila disuruh membuka baju kerana ada beberapa anggota yang belum siap dibentuk ketika itu. Tapi tak mengapa, saya teruskan sahaja. Mahu atau tidak, demi naskhah ini, saya bersetuju,” kongsinya.

Filem Bisikan Nafsu yang turut dibintangi Azeva, Zul Huzaimy, Aleza Shadan, Raja Azmi dan ramai lagi akan mula menemui penonton pada 1 Oktober depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×