PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) sedang mengambil langkah segera melalui proses undang-undang bagi mencabar keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) yang menggantung semua kegiatan gabungan itu sehingga tarikh yang tidak ditentukan.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya mengambil maklum keputusan tersebut namun tidak bersetuju dengan asas yang digunakan.
Katanya, langkah itu diambil bagi mempertahankan matlamat penubuhan dan agenda perjuangan PN yang didukung oleh ahli serta penyokongnya.
“PN tidak menolak kemungkinan tindakan terhadap PN adalah natijah agenda berniat jahat (mala fide) dan tekanan politik yang memangsakan PN daripada pihak-pihak dari dalam dan luar PN,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Takiyuddin berkata, PN menerima notis di bawah subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966 bagi maksud ROS hendak membatalkan pendaftaran gabungan itu selepas tempoh tunjuk sebab selama 30 hari.
Katanya, cadangan pembatalan tersebut berkaitan aduan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terhadap PN berhubung suatu mesyuarat bertarikh 16 Julai lalu.
“Susulan notis tersebut, PN turut menerima perintah di bawah subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966 yang memerintahkan penggantungan semua kegiatannya sehingga tarikh tidak ditentukan.
“Kedua-dua notis dan perintah itu diserahkan kepada PN secara berturut-turut pada 22 dan 23 September lalu, yang bertepatan dengan hari pengumuman serta kuat kuasa pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka bagi mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dalam waktu terdekat,” katanya.
Sehubungan itu, Takiyuddin menyeru ahli dan penyokong PN supaya bertenang kerana perkara berkenaan sedang diuruskan sebaiknya.
“PN akan memberikan maklumat dan dokumen berkaitan kepada masyarakat secara telus serta memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa.
“Pada masa sama, PN mengeluarkan perintah larangan bersuara berkuat kuasa serta-merta kepada mana-mana pihak daripada mengeluarkan sebarang kenyataan bagi pihak gabungan itu, kecuali pengerusi dan setiausaha agung PN,” katanya.
Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas dalam pada itu berkata, pihaknya yakin notis tunjuk sebab dan perintah penggantungan tersebut akan diuruskan PN mengikut peruntukan undang-undang serta proses perundangan sewajarnya.
Katanya, Pas yakin notis dan perintah yang dikeluarkan pada tarikh sama dengan pengumuman dan pembubaran DUN Melaka itu akan diuruskan mengikut peruntukan undang-undang dan proses perundangan sewajarnya oleh PN.
“Atas prinsip musyawarah dan akauntabiliti, Pas juga akan bersama-sama parti komponen dalam PN yang bertanggungjawab bagi meneliti dan mengambil segala langkah yang wajar mengikut lunas undang-undang serta peraturan ditetapkan.
“Langkah itu akan diambil terutama berdasarkan Akta Pertubuhan 1966 bagi memenuhi matlamat dan objektif penubuhan serta perjuangan PN,” katanya.
Terdahulu, RoS mengesahkan menggantung semua kegiatan PN berkuat kuasa semalam.
RoS memaklumkan, perintah penggantungan itu dikeluarkan di bawah subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) bagi menjaga kepentingan pertubuhan daripada terus melanggar aturan pertubuhannya. – UTUSAN











