Murid tahun empat digilis lori maut selepas 24 jam bertarung nyawa

Murid tahun empat digilis lori maut selepas 24 jam bertarung nyawa

PUTRI NUR AISHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang murid perempuan Tahun Empat dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kerian 2 meninggal dunia selepas hampir 24 jam bertarung nyawa dalam kemalangan di Kubang Kerian di sini semalam.

Mangsa Putri Nur Aishah Abdullah, 10, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 4.02 petang semasa sedang menerima rawatan di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian.

Kejadian kira-kira pukul 3.20 petang kelmarin, berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang dari sekolah ke rumahnya di Kampung Chica di sini dengan menaiki motosikal yang ditunggang oleh datuknya, Bakri Daud, 61.

Ibu mangsa, Nadja Aida Natasha Mohd. Noor, 30, berkata, semasa tiba berhampiran persimpangan lampu isyarat, motosikal yang dinaiki anak bersama bapanya itu bergesel dengan sebuah lori yang datang dari arah yang.

Katanya, kejadian itu menyebabkan motosikal tersebut terbalik dan menyebabkan ayahnya terjatuh ke sebelah kiri.

“Anak saya jatuh ke sebelah kanan serta digilis lori di bahagian perut. Pemandu itu menghentikan lorinya selepas menyedari kejadian.

“Pemandu itu terkejut melihat anak saya sudah berada di bawah lori serta mengalami kecederaan parah,” katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.

Nadja Aida Natasha memberitahu, bagaimanapun bapanya hanya cedera ringan.

Katanya, Putri Nur Aishah telah dibawa ke HPUSM Kubang Kerian untuk rawatan lanjut.

“Doktor buat pembedahan kecemasan untuk pasang besi di bahagian pinggul Putri Nur Aishah bagi membantu menghentikan pendarahan sebelum dia dimasukkan di Unit Rawatan Rapi. Selepas menjalani pembedahan, keadaan anak tetap lemah kerana kehilangan banyak darah.

“Keesokan harinya, doktor bercadang melakukan pembedahan kali kedua bagi mencari punca pendarahan yang berterusan. Semasa perbincangan bersama doktor, jantung anak saya tiba-tiba terhenti dan diberi bantuan CPR sebelum nadinya kembali selepas 15 minit,” ujarnya.

Nadja Aida Natasha berkata, keadaan Putri Nur Aishah terus lemah dan akhirnya meninggal dunia.

Katanya, jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chicha pada pukul 9.30 malam hari sama.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×