PETALING JAYA: Marine & General Berhad (M&G) mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM9.6 juta bagi suku berakhir 31 Julai 2026, berbanding RM4.1 juta yang direkodkan pada suku sebelumnya.
Peningkatan RM5.5 juta itu didorong oleh penambahbaikan hasil serta perbelanjaan susut nilai yang lebih rendah berikutan pelarasan anggaran hayat berguna kapal sokongan logistik marin (OSV) daripada 20 tahun kepada 25 tahun.
M&G berkata, pendapatan kumpulan bagi suku berkenaan turut meningkat kepada RM75.6 juta, berbanding RM66.9 juta pada suku sebelumnya.
“Prestasi yang lebih baik ini disokong oleh kadar penggunaan kapal yang lebih tinggi dalam divisyen huluan berikutan penyambungan semula aktiviti penggerudian selepas cuaca buruk di Laut China Selatan reda.
“Kadar penggunaan kapal bagi divisyen huluan dan hiliran masing-masing mencatatkan 75 peratus dan 89 peratus sepanjang suku berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, kumpulan berkata, divisyen huluan kekal sebagai penyumbang utama hasil syarikat apabila menjana 79 peratus daripada jumlah keseluruhan hasil, manakala divisyen hiliran menyumbang 19 peratus dan selebihnya daripada aktiviti lain.
“Bagi divisyen huluan, hasil yang dicatatkan adalah sebanyak RM61.6 juta, meningkat 15.5 peratus berbanding RM53.3 juta pada suku sebelumnya, sekali gus mencatatkan pemulihan prestasi daripada rugi sebelum cukai RM0.38 juta kepada PBT RM9.35 juta.
“Sementara itu, divisyen hiliran merekodkan hasil sebanyak RM13.8 juta berbanding RM12.7 juta pada suku sebelumnya, dengan PBT mencatatkan RM1.2 juta berikutan perbelanjaan susut nilai yang lebih tinggi susulan pengambilalihan kapal tangki minyak baharu pada Disember 2025,” katanya.
Mengenai prospek, M&G kekal berwaspada dan mengambil pendekatan berkecuali bagi tahun kewangan semasa memandangkan industri berdepan cabaran peralihan tenaga, tekanan margin, serta kos pematuhan piawaian alam sekitar dan ESG yang lebih ketat.
“Meskipun landskap pasaran jangka pendek menyaksikan penurunan kadar sewa dan persaingan tender yang lebih sengit, prospek jangka sederhana untuk perkhidmatan minyak dan gas kekal positif.
“Kumpulan akan terus menumpukan perhatian kepada kebolehpercayaan operasi, pengurusan kos, serta pengoptimuman kapal bagi mengekalkan daya tahan dan prestasi pendapatan yang stabil,” tambahnya. –UTUSAN











