PETALING JAYA: Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Zafir Ibrahim dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal kekal menjalankan tugas seperti biasa selepas tindakan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim menggantung tugas mereka berkuat kuasa serta-merta didakwa tidak selaras dengan undang-undang.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berkata, kedua-dua pegawai kanan kerajaan negeri itu tidak boleh dihalang daripada memasuki pejabat masing-masing untuk menjalankan tugas.
Menurut beliau, Perkara 37 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan menetapkan kuasa melantik Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri masing-masing terletak kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.
“Seksyen 29 Jadual Kesebelas Perlembagaan Persekutuan pula memperuntukkan bahawa kuasa melantik termasuk kuasa untuk membuang kerja atau menggantung tugas pegawai yang dilantik, termasuk membuat pelantikan sementara bagi menggantikan pegawai yang digantung.
“Berdasarkan peruntukan undang-undang berkenaan, kuasa melantik dan menggantung tugas dalam perkara ini terletak pada SPA bagi Setiausaha Kerajaan Negeri dan SPKP bagi Penasihat Undang-Undang Negeri, bukannya pada Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan.
“Justeru, penggantungan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri itu tidak selaras dengan peruntukan undang-undang tubuh negeri dan kedua-duanya seharusnya kekal menjalankan tugas seperti biasa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin Ismail berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan sebulat suara menggantung tugas Mohd Zafir dan Muzalmah berkuat kuasa serta-merta.
Katanya, susulan penggantungan itu, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Masri Razali, dinamakan untuk menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri hingga pelantikan baharu dinamakan Ketua Setiausaha Negara.
“Manakala tugas memberi nasihat perundangan pula akan dilaksanakan Fahmi Adilah, seorang peguam bela dan peguam cara sehingga Penasihat Undang-Undang baharu dinamakan Jabatan Peguam Negara,” katanya.
Jabatan Peguam Negara kemudian menjelaskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa dari segi undang-undang untuk menggantung tugas Mohd Zafir dan Muzalmah.
Katanya, hal berkaitan pelantikan termasuk penggantungan tugas kedua-dua jawatan itu terletak di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam serta Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.-UTUSAN











