Tindakan turun takhta Tuanku Muhriz tidak bertamadun 

Tindakan turun takhta Tuanku Muhriz tidak bertamadun 

ISTANA SERI MENANTI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir merupakan sebagai satu tindakan biadab dan tidak bertamadun yang tidak sepatutnya berlaku terhadap institusi beraja.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tiada mana-mana pihak dalam pentadbiran negeri mempunyai kuasa atau mandat untuk bertindak sedemikian.

Katanya, beliau tidak memahami tindakan dilakukan oleh Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim dan Exco terhadap institusi raja sehingga menimbulkan polemik tidak kesudahan di Negeri Sembilan sedangkan sebarang perbezaan pendapat boleh dikemukakan melalui saluran yang betul. 

“Yang paling saya fikir tidak munasabah ialah Menteri Besar dan Exco yang buat keputusan. Ini langkah biadab, tidak ada tamadun dan saya bantah keras. 

“Sejak bila mereka ada mandat nak pertikai kedudukan Raja? Itu masih boleh kita bincang dan batalkan, tetapi saya tidak boleh fikir seorang pemimpin Melayu boleh bawa usul jatuhkan Raja Melayu. Saya tidak boleh terima sama sekali,” katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam kereta api laju dari Shanghai menuju ke Hangzhou ketika lawatan rasmi ke China semalam.

Krisis pentadbiran dan adat di Negeri Sembilan memasuki episod baharu apabila Ismail mengesahkan proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan diputuskan dan disahkan secara sebulat suara oleh Exco negeri itu.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri menegaskan Kerajaan Persekutuan tidak campur tangan dalam isu penurunan takhta Raja yang disifatkannya bukan perkara mudah.

Katanya, walaupun kuasa menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar tertakluk kepada keputusan Undang Luak, perkara berkenaan tidak bersifat mutlak dan perlu mengikut peraturan.

“Saya hormati Undang, sebahagiannya saya kenal baik. Tapi dia kena faham, kita tak campur. Tapi kita kena jaga negara. Keselamatan negara, institusi, itu tanggungjawab kita. Jangan dia kata tak boleh campur, bukan campur.

“Jadi, saya nak tegaskan satu kesalahan besar bagi saya tentang yang mereka lakukan dan Kerajaan Persekutuan, kalau tanya bidang kuasa. Kita tunduk pada Perlembagaan.

“Saudara cemar dan langgar Perlembagaan, kita akan pertahankan. Kalau saya pimpin negara ini, saya nak pastikan Perlembagaan dihormati. Saya nak pastikan jangan ada kebiadapan termasuk mempertikaikan kedudukan raja,” katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 perlu menjadi kerangka penyelesaian berhubung krisis adat dan institusi negeri berkenaan.

Beliau berpandangan supaya krisis berkenaan diselesaikan oleh Negeri Sembilan sendiri tanpa campur tangan mana-mana pihak.

“Dalam Perlembagaan kita, ada apa yang boleh dan tak boleh buat antara negeri dengan pusat. Kita kena menghormati negeri, dia ada undang-undang sendiri dan kerajaan pusat pun ada Perlembagaan kita. Jadi benda ini berlainan.

“Saya menyatakan bahawa Adat Temenggong lain dengan isu Adat Perpatih. Ini menjadi keutamaan bila orang nak faham. Keduanya, Negeri Sembilan ada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

“Kalau kita terlebih-lebih mengulas dan saya tidak ada kepakaran, saya rasa pun kita tidak boleh mengelirukan orang awam. Mungkin pakar boleh mengulas, tapi saya bukan pakar. Johor saya boleh cakap,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Literasi Akta Antibuli 2026 dan Peranan Tribunal Antibuli di Maktab Tentera Diraja (RMC), Sungai Besi semalam.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×