HANGZHOU, China: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan memberi tumpuan kepada projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan langkah seterusnya dalam memperluas kemudahan pengangkutan kereta api berkelajuan tinggi di Malaysia.
Perdana Menteri berkata, pembangunan infrastruktur pengangkutan perlu mengambil kira faktor kos serta kemampuan pelaksanaan mengikut jadual, selain perlu diseimbangkan dengan keutamaan pembangunan lain.
“Ya, tentulah kita tengok khidmat dan kelajuannya dan keindahannya, kecepatannya, semua terbaik. Tapi kita tengok ECRL sajalah dulu.
“Kemudian beberapa langkah lain dibuat, kita tentunya terikat dengan kos, dengan pelaksanaannya ikut jadual,” katanya kepada media ketika berada dalam kereta api berkelajuan tinggi dari Shanghai menuju ke bandar ini, hari ini.
Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya mengenai pandangan dan pengalamannya selepas menaiki kereta api berkelajuan tinggi (HSR) serta kemungkinan mengambil inspirasi daripada sistem berkenaan untuk menambah baik perkhidmatan pengangkutan kereta api di Malaysia.
Beliau berkata, perjalanan menaiki HSR dari Shanghai ke Hangzhou adalah pengalaman pertamanya, selepas sebelum ini pernah menggunakan perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi di Jepun serta perkhidmatan kereta api dari Paris ke London.
Keupayaan sistem HSR dari segi kelajuan dan perkhidmatan sememangnya memberikan pengalaman baik, namun pembangunan infrastruktur di Malaysia perlu dilaksanakan berdasarkan keutamaan dan kemampuan negara.
“Di antara banyak lagi jenis pengangkutan, keutamaan lain dengan sekolah, saya pilih baiki sekolah dulu,” katanya.
Perdana Menteri berada di Shanghai sempena lawatan kerja atas undangan kerajaan China, antaranya menghadiri dan menyaksikan Pertandingan WorldSkills Shanghai 2026.
Beliau dijadual mengadakan pertemuan dan makan malam dengan Perdana Menteri China, Li Qiang hari ini.











