TEHERAN: Pegawai kanan Iran memberi isyarat negara itu bersedia membuka semula Selat Hormuz dalam tempoh seminggu, dengan syarat Amerika Syarikat (AS) mengambil langkah timbal balik untuk mengurangkan tekanan ketenteraan dan ekonomi yang dikenakan ke atas Iran.
Menurut Presiden AS, Donald Trump pegawai Iran mengadakan rundingan selama tiga jam dengan utusan khas AS, Steve Witkoff dan menantunya, Jared Kushner di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada Selasa. Beliau berkata, satu lagi pertemuan akan diadakan dalam masa terdekat.
Witkoff berkata, beliau melihat pertemuan itu sebagai satu perkembangan yang sangat positif dan merupakan komunikasi pertama seumpamanya sejak Naib Presiden AS, JD Vance bertemu delegasi Iran untuk memeterai memorandum persefahaman di Switzerland pada Jun.
Pegawai Iran mengesahkan pertemuan dengan Witkoff itu turut disertai Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi dan diadakan dengan perantaraan diplomat Qatar.
Sebelum ini, Iran menetapkan tujuh prasyarat berat untuk menarik balik sekatan terhadap Selat Hormuz, termasuk menamatkan perang AS di semua medan serta komitmen Washington untuk menghentikan segala tindakan agresif terhadap Teheran.
Pendirian baharu yang didedahkan ketika rundingan di belakang tabir berlangsung secara rancak semasa Perhimpunan Agung PBB di New York itu, akan melibatkan pelonggaran beberapa prasyarat berkenaan.
Pegawai berkenaan mendakwa pendirian tersebut sudah diluluskan Pemimpin Tertinggi Iran, Mojtaba Khamenei serta Majlis Keselamatan Tertinggi Negara walaupun beberapa media yang rapat dengan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) menafikannya.
Namun sebelum itu, IRGC dalam satu kenyataan mendakwa tidak wujud percanggahan antara mengadakan rundingan dan melancarkan perang pada masa yang sama, pendirian yang turut disuarakan Ketua Perunding Iran, Mohammad Ghalibaf dalam kenyataan terbaharu yang disampaikan secara dalam talian kepada Parlimen Iran.
Presiden Iran, Masoud Pezeshkian berada di pentas UNGA semalam selepas kebanyakan anggota delegasi Teheran meninggalkan dewan ketika Trump berucap pada Selasa. Dalam ucapannya, Trump menyifatkan Iran sebagai pembuli Asia Barat dan organisasi pengganas nombor satu di dunia.
Trump turut menggesa negara-negara anggota bersatu ‘memulaukan’ Teheran bagi menurunkan harga tenaga global, ketika beliau mempertahankan dasar luar pentadbirannya serta keputusan untuk menyerang Iran.
Beliau mendakwa akan menghumban negara itu ke ‘neraka’ ketika ramai sekutu AS mengadu mengenai kenaikan harga tenaga mendadak serta ketidakstabilan antarabangsa yang semakin meningkat sepanjang pentadbirannya. -AGENSI











