PUTRAJAYA: Seramai 66 individu mendakwa menjadi mangsa penipuan membabitkan pelaburan hartanah dengan jumlah kerugian keseluruhan sebanyak RM3.16 juta.
Setiausaha Agung Malaysian Humanitarian Organisation (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, kesemua mangsa hadir bagi mendapatkan maklum balas berhubung status siasatan terhadap syarikat yang menawarkan pelaburan hartanah berkenaan.
Menurut beliau, mangsa mendakwa mengalami kerugian berjumlah RM3,161,600 akibat pelaburan yang ditawarkan syarikat terbabit.
“Mangsa-mangsa ini mengesyaki bahawa diri mereka telah ditipu dan diperdaya oleh sebuah syarikat yang menawarkan pelaburan hartanah.
“Tujuan kehadiran mereka adalah untuk memohon dan mendapatkan maklum balas berkaitan siasatan yang telah dilakukan ke atas syarikat ini,” katanya.
Hishamuddin berkata, mangsa turut menyuarakan kebimbangan apabila individu yang didakwa menjadi dalang utama dalam kes penipuan berkenaan masih bebas dan belum dikenakan tindakan undang-undang.
Katanya, MHO berharap pihak berkuasa khususnya Jabatan Peguam Negara memberikan perhatian serius terhadap perkara yang dibangkitkan oleh mangsa.
“MHO menyeru agar siasatan dan pertuduhan sedia ada diperluaskan untuk turut meliputi syarikat-syarikat lain yang mempunyai kaitan rapat dengan individu-individu yang telah pun dikenakan pertuduhan.
“Pada masa sama, pertuduhan tambahan di bawah peruntukan undang-undang berkaitan seperti Akta Skim Kepentingan 2016 dan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 juga perlu dipertimbangkan,” katanya selepas menyerahkan surat aduan kepada Jabatan Peguam Negara, di sini, hari ini.
Beliau berkata, mangsa berharap pihak berkuasa dapat memberikan penjelasan jelas mengenai status siasatan yang telah dijalankan setakat ini.
Katanya, tindakan tegas dan langkah pencegahan lebih berkesan juga perlu dilaksanakan bagi mengelakkan orang ramai terus menjadi mangsa aktiviti pelaburan yang meragukan. – UTUSAN











