PM naiki HSR Shanghai-Hangzhou, nikmati modenisasi pengangkutan awam China

PM naiki HSR Shanghai-Hangzhou, nikmati modenisasi pengangkutan awam China

ANWAR Ibrahim ditemui petugas media semasa menaiki kereta api berkelajuan tinggi (HSR) dari Shanghai ke Hangzhou bagi meneruskan lawatan kerja ke wilayah Zhejiang, China hari ini.-FB ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HANGZHOU, China: Datuk Seri Anwar Ibrahim merasai sendiri kecekapan teknologi pengangkutan China apabila menaiki kereta api berkelajuan tinggi (HSR) dari Shanghai ke Hangzhou hari ini bagi meneruskan lawatan kerja ke wilayah Zhejiang, China.

Perdana Menteri beserta seluruh anggota delegasi Malaysia dan petugas media menggunakan perkhidmatan pengangkutan itu bagi perjalanan kira-kira 160 kilometer, yang mengambil masa kira-kira 45 minit.

Perjalanan itu membolehkan pimpinan negara merasai sendiri kecekapan serta kemudahan infrastruktur moden yang menjadi mercu tanda pengangkutan awam republik itu dan mobiliti rentas wilayah.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan turut mengambil kesempatan untuk bertemu dengan petugas media Malaysia yang membuat liputan lawatan kerja beliau dan menjawab beberapa soalan yang dikemukakan.

“Ya, ini kali pertama (saya menaiki perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi) di negara China. Sebelum ini, saya pernah (menaiki kereta api laju) di Jepun dan bullet train dari Paris ke London, lama dulu.

“Ya, tentu juga tengok perkhidmatannya, kelajuannya dan keindahannya serta kecepatannya, semuanya baik. Kita tengok ECRL dulu, kemudian beberapa langkah lain yang kita buat,” kata beliau ketika ditanya mengenai pengalamannya menggunakan perkhidmatan itu.

Beliau berkata, sebarang idea mengenai bentuk perkhidmatan rel tentunya terikat dengan kos dan pelaksanaannya yang mengikut jadual.

Menegaskan terdapat banyak jenis pengangkutan rel dan jika dibandingkan dengan bentuk kemudahan dan prasarana infrastruktur yang perlu diberi keutamaan kerajaan, Anwar berkata beliau akan memilih untuk memberi keutamaan seperti membaiki sekolah.

ECRL atau Projek Laluan Rel Pantai Timur merupakan projek pengangkutan darat yang memberi perkhidmatan rentas wilayah yang pantas, menghubungkan Wilayah Pantai Barat ke Wilayah Pantai Timur Semenanjung Malaysia, sepanjang 665 kilometer.

Laluan ECRL yang akan bermula dari Kota Bharu dan berakhir di Pelabuhan Klang akan melibatkan 20 stesen, terdiri daripada 10 stesen penumpang dan 10 lagi stesen yang menggabungkan pengangkutan barang dan penumpang.

Projek ECRL dijangka menjadi antara topik perbincangan mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri China Li Qiang pada Khamis.-BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×