MARA teroka AI kenal pasti keperluan bakat, kemahiran - Utusan Malaysia

MARA teroka AI kenal pasti keperluan bakat, kemahiran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: MARA Corporation Sdn. Bhd. (MARA Corp) menerusi anak syarikatnya, MARA Excellent Ventures Sdn. Bhd. (MEX) meneroka penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan analitik data bagi memadankan latihan serta pembangunan bakat dengan keperluan sebenar tenaga kerja.

Usaha itu dilaksanakan menerusi kerjasama strategik antara MEX dan CXS Analytics Sdn. Bhd. (CXS) melalui penubuhan usaha sama (JV) yang turut memberi tumpuan kepada penyelesaian pembangunan modal insan.

Ketua Pegawai Operasi MEX, Said Harull Nizam berkata, kerjasama itu membuka ruang untuk teknologi AI dan analitik dimanfaatkan dalam mengenal pasti keperluan kompetensi, sekali gus membantu organisasi merancang pembangunan bakat dengan lebih tepat.

Katanya, antara potensi yang sedang diteroka termasuk penggunaan AI bagi memadankan program latihan dengan keperluan sebenar tenaga kerja, selain meningkatkan produktiviti organisasi.

“Kerjasama ini bukan sekadar membuka peluang perniagaan baharu kepada MEX, malah memberi ruang kepada kami meneroka bagaimana AI dan analitik boleh dimanfaatkan untuk menyokong pembangunan modal insan, meningkatkan keupayaan organisasi serta memberi nilai tambah kepada ekosistem MARA. Keupayaan ini kemudiannya boleh diperluaskan kepada pasaran yang lebih luas,” katanya.

Pengarah Eksekutif CXS, Johnathan JS berkata, kerjasama dengan MEX menyediakan platform strategik untuk membawa teknologi dan kepakaran CXS ke skala yang lebih besar.

“AI seharusnya bukan sekadar teknologi, tetapi menjadi alat untuk membantu organisasi memahami bakat, mengenal pasti jurang kompetensi dan membuat keputusan yang lebih tepat. Bersama MEX, kami melihat peluang untuk membawa keupayaan ini kepada ekosistem MARA dan seterusnya kepada organisasi lain yang sedang melalui transformasi digital dan tenaga kerja,” katanya.

Melalui UJV ini, MEX dan CXS akan meneroka peluang dalam bidang AI, analitik data, pengurusan bakat dan kompetensi, pembangunan tenaga kerja serta transformasi digital, termasuk pembangunan penyelesaian yang disesuaikan mengikut keperluan organisasi.

CXS merupakan syarikat teknologi dan analitik modal insan yang membangunkan penyelesaian berasaskan data dan AI, dengan pengalaman menyokong ekosistem pembangunan bakat serta kerjaya yang telah melibatkan lebih 300,000 pengguna.

Kerjasama ini turut meletakkan MEX dalam kedudukan untuk memperluas peranannya sebagai rakan strategik penyelesaian teknologi dan modal insan, dengan potensi untuk menyokong agenda transformasi dalam ekosistem MARA serta membawa penyelesaian tersebut ke pasaran yang lebih luas.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×