PETALING JAYA: Malaysia merekodkan seramai 76.9 juta pelawat domestik pada suku kedua 2026, meningkat 4.3 peratus berbanding 73.8 juta pelawat pada suku sama tahun lalu, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Menurut DOSM, berbanding suku sebelumnya, bilangan pelawat domestik turut meningkat sebanyak 3.0 peratus.
“Pada suku kedua 2026, bilangan pelancong domestik, iaitu pelawat yang melakukan perjalanan dengan sekurang-kurangnya menginap satu malam, meningkat kepada 29.6 juta orang berbanding 27.4 juta orang pada suku sama tahun sebelumnya, mencatatkan pertumbuhan 7.9 peratus tahun ke tahun,” katanya dalam kenyataan.
Berbanding suku pertama 2026, bilangan pelancong domestik meningkat 7.8 peratus, mencerminkan permintaan yang kukuh terhadap perjalanan bermalam dalam kalangan rakyat Malaysia.
Seiring dengan peningkatan dalam aktiviti pelancongan domestik, perbelanjaan pelancongan domestik mencatatkan RM32.8 bilion pada suku kedua 2026, meningkat kukuh 12.3 peratus berbanding RM29.2 bilion pada suku sama tahun sebelumnya.
Walau bagaimanapun, secara suku tahunan, perbelanjaan menurun 3.6 peratus daripada RM34 bilion yang direkodkan pada suku pertama 2026.
Sementara itu, melawat saudara-mara dan rakan kekal sebagai tujuan utama perjalanan domestik, iaitu merangkumi 44.1 peratus. Ini diikuti oleh tujuan untuk membeli-belah (21.6 peratus) dan percutian (13.0 peratus).
“Secara keseluruhannya, prestasi suku kedua 2026 memperlihatkan permintaan pelancongan domestik yang terus berdaya tahan, disokong oleh pertumbuhan berterusan bilangan pelawat dan pelancong.
“Pertumbuhan perbelanjaan pelancongan meningkat 12.3 peratus, mengatasi pertumbuhan 4.3 peratus yang dicatatkan oleh peningkatan bilangan pelawat domestik, sekali gus menunjukkan peranan penting aktiviti pelancongan domestik dalam menyokong perbelanjaan pengguna serta aktiviti ekonomi berkaitan pelancongan di dalam negara,” katanya. – UTUSAN











