Malaysia teroka pasaran minyak dan gas di Timor-Leste

Malaysia teroka pasaran minyak dan gas di Timor-Leste

AKMAL Nasrullah di sidang media selepas menghadiri Program Akses Pasaran Antarabangsa Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC) : Pratonton Perkhidmatan serta Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) Turkmenistan di Bamboo Hills, Kuala Lumpur. -UTUSAN/ M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia akan meneroka Timor-Leste sebagai antara pasaran baharu bagi syarikat perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) tempatan dalam usaha memperluas kehadiran industri itu di peringkat antarabangsa.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, Timor-Leste telah disenaraikan sebagai antara destinasi yang akan diterokai menerusi International Market Access Programme (IMAP) kendalian Perbadanan Sumber Petroleum Malaysia (MPRC) .

Menurutnya, kerja asas perlu dilaksanakan terlebih dahulu termasuk membina hubungan, menyediakan mekanisme serta memudahkan proses bagi membolehkan syarikat tempatan menembusi pasaran berkenaan.

“Dalam perancangan menerusi IMAP, Timor-Leste akan menjadi antara destinasi yang akan kita pergi.

“Tetapi, sudah tentu kerja asas perlu dilakukan menerusi MPRC untuk membina hubungan, menyediakan mekanisme dan benar-benar memudahkan proses,” katanya semasa sidang akhbar selepas program MPRC IMAP: Privet OGSE Turkmenistan di sini, hari ini.

Akmal berkata, langkah itu penting kerana keperluan dan risiko yang perlu dihadapi syarikat tempatan apabila memasuki pasaran antarabangsa berbeza berbanding pasaran domestik.

Katanya, MPRC akan memainkan peranan membantu meningkatkan keupayaan pemain OGSE tempatan untuk berkembang ke pasaran antarabangsa.

Selain Timor-Leste, beliau berkata, beberapa negara lain turut berada dalam perancangan untuk diterokai termasuk negara yang terkesan akibat konflik di Asia Barat.

“Untuk negara-negara lain, memang ada dalam pipeline, termasuk juga negara-negara yang terkesan akibat peperangan di Asia Barat.

“Kita juga menilai dari segi potensi, risiko dan peluang yang ada bersandarkan kepada situasi dari semasa ke semasa,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan negara di Asia Barat yang sedang dinilai atau tempoh syarikat Malaysia dijangka memasuki pasaran berkenaan.

Katanya, peluasan ke pasaran antarabangsa penting bagi mengurangkan kebergantungan industri OGSE terhadap permintaan domestik semata-mata serta mempelbagaikan pasaran, pelanggan dan sumber pendapatan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×