IPOH: Sembilan individu sebahagian besarnya terdiri daripada jururawat pelatih cedera selepas van milik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dinaiki mereka terbabas dalam kemalangan berhampiran Little India Ipoh, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 7.25 pagi ketika van berkenaan dalam perjalanan dari Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Sultan Azlan Shah, Tanjung Rambutan menuju ke Klinik Kesihatan Buntong.
Katanya, ketika kejadian, seramai 11 individu termasuk pemandu berada di dalam kenderaan tersebut.
“Pelatih berkenaan difahamkan dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Buntong untuk menjalani latihan praktikal.
“Seramai sembilan individu termasuk pemandu cedera dalam kejadian itu,” katanya di sini hari ini.
Ditanya sama ada kenderaan lain turut terbabit dalam kemalangan itu, beliau mengesahkan dakwaan tersebut namun memberitahu punca kemlangan masih dalam siasatan. – UTUSAN











