SANAA: Pasukan kerajaan Yemen menguasai sepenuhnya Gunung Qarfan yang strategik di selatan wilayah Taiz selepas bertempur dengan pemberontak Houthi, menurut pegawai pertahanan.
Ketua Turus Paksi Tentera Taiz, Mejar Jeneral Abdulaziz Al-Majidi dalam kenyataan yang dikeluarkan Pusat Media Angkatan Tentera berkata, pasukan kerajaan yang mendapat sokongan pejuang penentangan tempatan daripada penduduk Bani Omar.
Abdulaziz berkata, pertempuran itu mengakibatkan lebih lima pejuang Houthi terbunuh dan kira-kira 20 lagi cedera, sambil menambah kumpulan itu terus melancarkan serangan mortar ke arah kedudukan tentera.
Houthi tidak segera mengeluarkan sebarang komen berhubung kehilangan wilayah berkenaan.
Gunung Qarfan mempunyai kedudukan penting di sepanjang rangkaian pergunungan berbatu di barisan hadapan Jardad-Bani Omar, antara daerah Ash Shamaytayn dan Al-Wazi’iyah.
Ia sekali gus membolehkan pasukan yang menguasainya mempunyai kawalan tembakan serta keupayaan memantau kawasan lembah di sekitarnya.
Perkembangan itu berlaku ketika permusuhan semakin meningkat dan menyebabkan barisan hadapan berubah sejak Julai, susulan kemaraan terbaharu Houthi di sepanjang pesisir pantai barat menuju ke Selat Bab al-Mandeb.











