Piala ASEAN FIFA: Harimau Malaya tiada ‘live’?

Piala ASEAN FIFA: Harimau Malaya tiada ‘live’?

SKUAD Harimau Malaya giat menjalani sesi latihan bagi persediaan mengharungi kempen Piala ASEAN FIFA di Jakarta.-IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beberapa hari menjelang sepak mula Piala ASEAN FIFA 2026, satu persoalan besar masih menghantui penyokong-penyokong Harimau Malaya iaitu di manakah mereka boleh menyaksikan aksi pasukan kebangsaan?

Setakat ini, belum ada pengumuman rasmi daripada mana-mana stesen televisyen mengenai siaran langsung perlawanan Harimau Malaya dalam kejohanan berkenaan, sekali gus menyebabkan peminat tertanya-tanya.

Persoalan itu semakin hangat apabila 104 perlawanan Piala Dunia FIFA 2026 akan disiarkan secara langsung kepada rakyat Malaysia menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Unifi TV sebagai penyiar rasmi kejohanan bola sepak terbesar dunia itu.

Sekiranya Piala Dunia boleh dibawa terus ke kaca televisyen rakyat Malaysia, mengapa aksi Harimau Malaya dalam kejohanan sulung anjuran FIFA pula masih belum mempunyai kepastian mengenai siarannya?

Harimau Malaya bakal membuka kempen Piala ASEAN FIFA, Jumaat ini, dalam kejohanan baharu yang diperkenalkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi menyediakan pentas kompetitif kepada pasukan kebangsaan Asia Tenggara serta beberapa pasukan jemputan.

Piala ASEAN FIFA 2026 dijadualkan berlangsung dari 24 September hingga 5 Oktober, dengan saingan Divisyen 1 diadakan di Indonesia membabitkan lapan pasukan.

Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah Indonesia, Singapura dan Bangladesh.

Dengan tarikh pertandingan semakin hampir, ketiadaan pengumuman mengenai saluran televisyen atau platform penstriman yang akan membawa aksi Harimau Malaya secara langsung pastinya menimbulkan tanda tanya.

Ini bukan sekadar soal hiburan kerana setiap aksi pasukan kebangsaan menjadi perhatian peminat dari seluruh negara, malah kejohanan tersebut memberi peluang kepada Harimau Malaya menguji kemampuan dalam saingan kompetitif di pentas antarabangsa.

Berbeza dengan negara-negara lain yang bertanding termasuk Indonesia, apabila mereka sudah mempunyai kepastian mengenai siaran kejohanan berkenaan selepas Emtek Media memegang hak siaran eksklusif, dengan aksi skuad Garuda boleh ditonton menerusi Indosiar, SCTV, Vidio dan NEX.

Di Australia pula, penyiar SBS mengumumkan kesemua perlawanan Divisyen 1 Piala ASEAN FIFA akan disiarkan secara langsung menerusi platform SBS On Demand.

Perkembangan itu sekali gus menjadikan persoalan mengenai siaran Harimau Malaya semakin relevan kerana penyokong di negara lain sudah mempunyai saluran untuk mengikuti aksi pasukan masing-masing.

Piala ASEAN FIFA bukan pertandingan persahabatan biasa, sebaliknya kejohanan baharu di bawah FIFA yang menawarkan pentas kompetitif dalam kalendar antarabangsa kepada pasukan kebangsaan.

Harimau Malaya akan membuka tirai saingan menentang Bangladesh di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Jumaat ini, sebelum berdepan Indonesia dan Singapura dalam usaha memburu tempat ke pusingan seterusnya.

Justeru, pihak berkaitan wajar memberikan penjelasan segera mengenai status siaran supaya penyokong tidak terus berada dalam teka-teki dan berpeluang menyaksikan sendiri perjuangan Harimau Malaya dalam sejarah sulung Piala ASEAN FIFA.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×