Kastam digesa beri penjelasan bertulis isu kargo K8 RM220 juta - Utusan Malaysia

Kastam digesa beri penjelasan bertulis isu kargo K8 RM220 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) digesa mengeluarkan pendirian bertulis berhubung layanan Kastam terhadap dua kargo petroleum bernilai lebih RM220 juta bagi mengelakkan ketidakpastian dalam kalangan pemain industri hiliran petroleum.

Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd, Datuk Seri R. Jeyenderan berkata, pihaknya bukan meminta JKDM membuat keputusan memihak kepada syarikat, sebaliknya menjelaskan secara bertulis undang-undang, prosedur dan dokumen yang terpakai.

Katanya, antara persoalan yang perlu dijelaskan ialah sama ada kargo petroleum yang diisytiharkan untuk pemindahan semula di bawah prosedur K8 boleh dicampur atau digabungkan dalam Gudang Berlesen Awam serta kelulusan yang diperlukan sekiranya berlaku perubahan pada produk.

“Perkara ini bukan lagi sekadar pertikaian komersial persendirian. Industri perlu tahu sama ada kargo petroleum di bawah K8 boleh dicampur, bagaimana pengisytiharan perlu dibuat dan layanan duti jika produk berubah,” katanya dalam kenyataan.

Isu itu membabitkan dua kargo minyak mentah Atlanta berjumlah 76,954.325 tan metrik, masing-masing sebanyak 34,903.062 tan yang dibawa MT Marlin Santorini dan 42,051.263 tan oleh MT Invictus.

Menurut Maritime Network, rekod yang ditelitinya menunjukkan kedua-dua kargo diisytiharkan di bawah prosedur K8 sebelum dipindahkan ke tangki darat di Dialog Terminals Langsat, Johor.

Jeyenderan berkata, pihaknya sudah mendapatkan penjelasan melalui saluran rasmi sejak April lalu, termasuk pertemuan, surat rasmi, laporan terperinci pada akhir Ogos serta pertemuan dengan Unit Petroleum Hiliran JKDM pada 9 Sept.

Katanya, pada tarikh sama, pihaknya turut mengemukakan permohonan bertulis lanjut kepada JKDM, namun sehingga kini belum menerima penjelasan rasmi berhubung persoalan terbabit.

“Selepas berbulan-bulan e-mel, mesyuarat, laporan dan surat rasmi, ketiadaan jawapan bertulis terus mewujudkan ketidakpastian kawal selia yang boleh dielakkan. Kargo bernilai lebih RM220 juta tidak sepatutnya bergantung kepada tafsiran secara lisan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menerima jawapan daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bertarikh 17 Sept yang menjelaskan pemilik kargo kekal memiliki minyak mentah, bahan campuran dan produk minyak bahan api sulfur sangat rendah (VLSFO), manakala Dialog menjalankan proses pencampuran dan memiliki lesen pengilangan berkaitan.

Katanya, MIDA turut menjelaskan persoalan sama ada aktiviti itu boleh dijalankan di Gudang Berlesen Awam serta layanan duti bagi proses atau eksport VLSFO perlu dirujuk terus kepada JKDM kerana perkara itu berada di bawah bidang kuasa Kastam.

“Apa yang diperlukan sekarang ialah pendirian bertulis Kastam, termasuk sama ada K8 masih sah apabila minyak mentah di bawah kod tarif HS 2709.00 dicampur menjadi VLSFO di bawah HS 2710.19, atau memerlukan pengisytiharan K1 serta layanan duti dan cukai yang berkaitan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×