PETALING JAYA: Perancangan pembangunan pesat terutama di Lembah Klang perlu mengambil kira perubahan corak hujan bagi mengelakkan kejadian banjir kilat berulang dalam tempoh singkat.
Pakar Perancangan Bandar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mohamad Fadhli Rashid berkata, penilaian terhadap perubahan corak hujan penting bagi memastikan sistem perparitan dan infrastruktur sedia ada mampu menampung jumlah tadahan air ketika hujan lebat.
Katanya, pelbagai kemungkinan perlu diberi perhatian termasuk perkembangan pembangunan negara serta ketidakstabilan corak hujan akibat perubahan cuaca.
“Negara perlu bersedia dengan pelbagai kemungkinan susulan perubahan pembangunan serta kadar hujan yang berlaku akibat perubahan cuaca.
“Antara punca banjir kilat sering berulang adalah disebabkan infrastruktur dan sistem perparitan yang tidak lagi dapat menampung tadahan air hujan di sesuatu kawasan,” katanya.
Tambah Fadhli, walaupun pembangunan Kuala Lumpur sebagai ibu negara telah dirancang sejak sekian lama, masalah banjir kilat masih belum dapat diselesaikan sepenuhnya setiap kali hujan lebat berterusan.
Menurutnya, pembangunan pesat turut menyebabkan kawasan yang sebelum ini berfungsi sebagai kawasan tadahan air semakin berkurangan.
“Banyak kawasan hilang sumber tadahan akibat pembangunan pesat. Apabila hujan turun, air tidak dapat diserap ke dalam tanah dan akhirnya kekal di sesuatu kawasan sehingga menyebabkan banjir kilat,” katanya.
Beliau berkata, aspek saliran dan kawasan tadahan perlu diberi perhatian seiring dengan pembangunan bagi mengurangkan risiko banjir, terutama di kawasan yang mengalami pertambahan pembangunan dan permukaan berturap.
Ahad lalu, empat kejadian kecemasan dilaporkan susulan banjir kilat di sekitar ibu negara dan Ampang akibat hujan lebat.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur memaklumkan beberapa panggilan kecemasan diterima sebelum mengarahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keramat, BBP Jalan Tun Razak dan BBP Titiwangsa ke lokasi terlibat. – UTUSAN











