Tambah baik sistem HR, potong gaji suami swasta bayar nafkah

Tambah baik sistem HR, potong gaji suami swasta bayar nafkah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sistem pengurusan sumber manusia (HR) syarikat swasta yang kebanyakannya belum disesuaikan untuk mengendalikan potongan berasaskan perintah mahkamah menjadi antara kekangan dalam melaksanakan pemotongan gaji suami bagi pembayaran nafkah.

Perunding Sumber Manusia, HR Advisory & Services, Zahid Mohammad Sham berkata, sistem HR yang lazim digunakan syarikat korporat seperti SAP dan Oracle ketika ini lebih tertumpu kepada potongan statutori seperti cukai, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Katanya, potongan zakat juga mula dimasukkan ke dalam sistem berkenaan sejak kira-kira 10 tahun lalu, namun mekanisme khusus bagi potongan nafkah berdasarkan perintah mahkamah masih belum menjadi sebahagian daripada sistem HR standard kebanyakan syarikat.

ZAHID MOHAMMAD SHAM

“Pihak syarikat sebenarnya keberatan untuk membuat penyesuaian pada sistem kerana ia memerlukan kerja tambahan. Sistem pengurusan sumber manusia sekarang kebanyakannya hanya melibatkan potongan cukai, KWSP dan Perkeso, manakala potongan zakat pula mula dilaksanakan sejak kira-kira 10 tahun lalu.

“Jadi, potongan nafkah belum ada dalam sistem HR sedia ada dan pelaksanaannya memerlukan perubahan pada sistem. Majikan mungkin perlu melakukannya secara manual bagi segelintir pekerja yang dikenakan perintah mahkamah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau mengulas laporan akhbar ini mengenai kesukaran melaksanakan pemotongan gaji secara automatik terhadap bekas suami atau bapa yang gagal menunaikan tanggungjawab nafkah, khususnya apabila individu terbabit bekerja sendiri atau dalam sektor swasta.

Berdasarkan rekod soal jawab semasa Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Ke-15, 2025, Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) tidak mempunyai data terperinci mengenai jumlah suami atau bapa yang dikenakan perintah tahanan pendapatan dan berjaya dikuatkuasakan secara efektif dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Zahid yang mempunyai pengalaman kira-kira 30 tahun dalam bidang berkenaan berkata, perintah mahkamah syariah merupakan arahan yang perlu dipatuhi dan tidak seharusnya diketepikan hanya kerana individu terbabit bekerja di sektor swasta.

Katanya, beliau pernah menasihati golongan isteri supaya membuat laporan polis berhubung keengganan pihak suami mematuhi perintah mahkamah berkaitan pembayaran nafkah.

“Pekerja swasta atau pihak syarikat tidak boleh sekadar mengatakan mereka tidak bersetuju dengan perintah mahkamah. Perintah itu perlu dipatuhi mengikut saluran dan mekanisme ditetapkan.

“Terdapat kes yang saya kendalikan membabitkan seorang suami bergaji besar di sebuah syarikat korporat yang enggan membayar nafkah kepada bekas isteri selepas berkahwin lain.

“Akhirnya, bekas isteri yang sebelum ini hidup selesa bersama suami terpaksa bekerja di restoran makanan segera bagi menampung keperluan diri dan anak-anak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×