Teknologi pengecaman wajah dan nombor bib memudahkan peserta mencari gambar perlumbaan
PUTRAJAYA: Peserta Powerman Malaysia 2026 kini boleh mencari gambar mereka dengan lebih mudah menerusi RaceTag, penyelesaian fotografi berasaskan kecerdasan buatan (AI) oleh CheckPointSpot® yang menggunakan teknologi pengecaman wajah dan nombor bib peserta.
RaceTag yang digunakan pada Powerman Malaysia 2026 membolehkan peserta mencari gambar masing masing tanpa perlu melihat satu persatu daripada ribuan gambar yang dirakam sepanjang acara berlangsung.
Menerusi teknologi AI, RaceTag mengenal pasti peserta berdasarkan wajah dan nombor bib yang kelihatan pada gambar sebelum memadankannya dengan foto berkaitan.
Peserta yang ingin mencari gambar mereka sepanjang Powerman Malaysia 2026 boleh melayari platform RaceTag Powerman Malaysia 2026 dan membuat carian menggunakan pengecaman wajah atau nombor bib.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CheckPointSpot®, Benjamin Yeow berkata, RaceTag dibangunkan bagi menyelesaikan satu masalah yang sering dihadapi peserta selepas menyertai acara sukan berskala besar.
“Ribuan gambar boleh dirakam sepanjang sesuatu perlumbaan. Peserta mungkin mengambil masa yang lama untuk mencari gambar mereka daripada jumlah gambar yang begitu banyak.
“RaceTag menggunakan AI bagi memudahkan proses tersebut dengan membantu peserta mencari gambar berdasarkan wajah atau nombor bib mereka,” katanya.
Menurut Benjamin, penggunaan teknologi dalam acara sukan bukan sekadar membantu penganjur menguruskan operasi di belakang tabir, malah perlu memberi manfaat secara langsung kepada peserta.
“Teknologi dalam acara sukan juga perlu membantu meningkatkan pengalaman peserta. RaceTag merupakan salah satu contoh bagaimana kami menggunakan teknologi untuk menyelesaikan masalah yang sangat praktikal,” katanya.

RaceTag merupakan sebahagian daripada penyelesaian teknologi dan operasi yang disediakan CheckPointSpot® untuk Powerman Malaysia 2026.
Selain RaceTag, CheckPointSpot® turut menyokong proses pengambilan pek perlumbaan selama dua hari, sistem pemasaan perlumbaan dan pengurusan keputusan. Pasukan CheckPointSpot® bekerjasama rapat dengan pihak penganjur sepanjang proses perancangan dan pelaksanaan acara.
Dalam masa sama, keadaan jerebu menjelang hari perlumbaan turut memberi cabaran kepada operasi apabila pihak penganjur terpaksa menilai semula format, jarak dan laluan perlumbaan.
Susunan perlumbaan yang baharu disahkan dan diumumkan kira-kira pukul 2 petang sehari sebelum acara, manakala operasi perlumbaan dijadualkan bermula pada pukul 6.30 pagi keesokan harinya.
Keadaan itu memberikan tempoh yang singkat kepada CheckPointSpot® dan pasukan operasi lain untuk melakukan perubahan yang diperlukan.
Selepas menerima pengesahan daripada pihak penganjur, CheckPointSpot® segera menyesuaikan sistem teknologi dan operasi di lapangan mengikut perubahan tersebut.
Ia termasuk mengemas kini jarak perlumbaan, kategori dan lokasi pemasaan, menyemak pengiraan keputusan, menyelaras perubahan bersama pihak penganjur serta menguji sistem yang telah dikemas kini sebelum perlumbaan bermula.
Benjamin berkata, pengalaman tersebut menunjukkan bahawa kekuatan teknologi acara bukan hanya bergantung kepada sistem yang digunakan, tetapi juga keupayaan pasukan untuk bertindak dengan pantas apabila berlaku perubahan.
“Apabila sesuatu acara berubah pada saat akhir, teknologi juga perlu disesuaikan dengan segera. Sistem memang penting, tetapi pasukan di belakangnya juga perlu mampu bertindak pantas, memahami perubahan yang diperlukan dan memastikan semuanya bersedia sebelum perlumbaan bermula,” katanya.
Walaupun berdepan tempoh persediaan yang singkat, operasi perlumbaan yang telah disemak semula berjaya dilaksanakan.

Dua atlet Malaysia turut mengungguli kategori lelaki dan wanita. Wee Hon Gavin Sim muncul juara lelaki dengan catatan masa 1:18:49, manakala Esther Joy Chen menjuarai kategori wanita dengan masa 1:31:05.
Kejayaan pelaksanaan Powerman Malaysia 2026 turut mencerminkan kerjasama erat antara pihak penganjur, CheckPointSpot® dan pasukan operasi lain yang terlibat dalam acara tersebut.
Bagi CheckPointSpot®, penggunaan RaceTag mencerminkan usaha syarikat untuk terus menggunakan teknologi bagi meningkatkan pengalaman dalam acara sukan, daripada menyokong operasi perlumbaan sehingga membantu peserta mencari dan menyimpan kenangan mereka selepas melintasi garisan penamat. – UTUSAN











