JERANTUT: Bagi mengimbas kenangan lama dan menyemai jati diri, seorang penduduk di Perumahan Felcra Tembeling Tengah, Kuala Tahan di sini. mengambil pendekatan unik apabila mentransformasikan halaman rumahnya menjadi ‘bendang’ padi huma berskala kecil.
Lebih menarik, projek tanaman tradisional yang diusahakan oleh Hapsah Abdul Rahman itu membuahkan hasil tepat yang sedia dituai bertepatan dengan sambutan Hari Malaysia pada 16 September lalu.
Hapsah berkata, usaha itu bukan sahaja bertujuan menyerikan landskap kediaman malah menjadi medium pendidikan warisan buat generasi muda serta belia di kawasan berkenaan.
“Menanam padi huma adalah aktiviti pertanian tradisional penduduk di sekitar Kuala Tahan dan Ulu Tembeling sejak dahulu sebagai sumber makanan ruji. Tanaman ini mengembalikan nostalgia kehidupan orang tua saya sebelum ini yang bergantung kepada padi huma, hasil tangkapan ikan Sungai Tembeling dan ulam-ulaman.
“Apabila beras makin mudah didapati di pasaran, tradisi ini semakin dilupakan dan benihnya sukar dicari. Saya bernasib baik kerana dapat membeli benih padi huma secara dalam talian menerusi aplikasi TikTok daripada seorang petani luar daerah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bermula 9 Jun lalu, Hapsah memanfaatkan tanah halaman rumahnya yang lembap untuk menyemai benih padi.
Gandingan kira-kira 100 pokok padi huma yang menguning bersama perhiasan jalur gemilang dan bendera negeri-negeri di sekeliling halaman rumah mewujudkan suasana kemerdekaan yang cukup bermakna. – UTUSAN











